Kerjasama PN-BN langkah positif kukuh peluang bentuk kerajaan - Dominic Lau - Utusan Malaysia

Kerjasama PN-BN langkah positif kukuh peluang bentuk kerajaan – Dominic Lau

DOMINIC Lau Hoe Chai (empat dari kiri) ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai langkah positif yang mampu mengukuhkan peluang gabungan itu untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, perkembangan politik semasa ketika ini menunjukkan, terdapat ruang yang semakin besar untuk PN dan BN terus bekerjasama khususnya dalam menentukan strategi serta pembahagian kerusi.

“Matlamat utama PN pada PRU-16 adalah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan. Oleh itu, kerjasama dengan gabungan parti politik lain khususnya yang mampu membantu PN mencapai matlamat tersebut perlu dilihat secara positif,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sementara itu, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang turut mengulas mengenai kemungkinan wujudnya kerjasama antara PN dengan BN di negeri itu selepas ini.

Menurut beliau, ia tidak mustahil untuk direalisasikan sekiranya model kerjasama seperti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan ketika ini diguna pakai bagi tujuan tersebut.

Mengulas mengenai cadangan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menilai semula prestasi semua Pengerusi PN di seluruh negeri pula, Dominic menganggap perkara itu sebagai proses biasa dalam parti.

Katanya, penilaian semula prestasi itu penting bagi memastikan kepimpinan negeri dapat disesuaikan dengan perkembangan landskap politik semasa selain membolehkan jawatan kuasa baharu dibentuk di negeri-negeri yang masih belum mempunyai Pengerusi PN ketika ini seperti di Negeri Sembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×