TAIPING: Seramai 1,723,371 pelajar sudah menebus Baucar Buku Madani daripada 2.21 juta penerima yang layak tahun ini, dengan 3,152,258 naskhah buku dibeli setakat 5 September lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah tersebut direkodkan kira-kira dua bulan selepas pelaksanaan inisiatif berkenaan, membabitkan peruntukan RM221 juta di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, setiap pelajar menerima baucar bernilai RM100, manakala jumlah penerima itu hanya melibatkan pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan di bawah KPM, tidak termasuk institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Jumlah yang saya sebut ini adalah bagi Kementerian Pendidikan Malaysia sahaja,” katanya pada sidang akhbar UTMB di sini hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan Baucar Buku Madani tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut selepas inisiatif berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Wong berkata, pada 2024, baucar diberikan kepada murid sekolah, manakala tahun lalu kepada warga pendidik.
Katanya, penggunaan secara dalam talian memastikan ketelusan serta mengurangkan risiko ketirisan kerana baucar hanya boleh digunakan untuk pembelian buku.
“Apabila kita beri RM100 kepada murid-murid untuk menebus dan membuat pembelian secara dalam talian, apa yang kita boleh pastikan adalah 100 peratus ketelusan dan sifar peratus ketirisan,” katanya.
Beliau berkata, kaedah itu turut mengelakkan baucar disalahgunakan untuk mendapatkan wang tunai, sekali gus memastikan manfaat disalurkan sepenuhnya bagi tujuan pembelian buku. – UTUSAN










