PETALING JAYA: Seramai 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) boleh menebus Baucar Buku Madani RM100 bermula pada pukul 11 pagi, esok.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus baucar itu di portal MySiswaPlace, platform digital sehenti kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Melalui portal itu, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana dan menebus baucar serta membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat.
“Bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada pilihan bahan bacaan yang menyeluruh, MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan.
“Platform ini menawarkan pelbagai kategori bahan bacaan termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum yang menyokong pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan intelektual mahasiswa,” katanya hari ini.
Menurut KPT, pemberian itu diteruskan oleh pihak kerajaan menerusi Inisiatif Baucar Buku Madani 2026 bagi membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan serta memperluas akses kepada sumber ilmu berkualiti.
KPT yakin usaha itu akan terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa, memperkukuh tradisi keilmuan di kampus serta melahirkan graduan yang berpengetahuan, berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Sehubungan itu, KPT menyeru semua pelajar yang layak agar menebus baucar itu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan sebagai pelaburan terbaik dalam membina ilmu, kemahiran dan masa depan. – UTUSAN










