KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini merupakan pentadbiran yang paling memberi perhatian terhadap pembangunan hal ehwal Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, komitmen itu antara lain dapat dilihat menerusi peningkatan peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam yang meningkat setiap tahun sejak 2023.
Katanya, peruntukan berkenaan meningkat daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM1.9 bilion (2024), RM2 bilion (2025) dan RM2.6 bilion (2026).
“Jadi, kalau nak kata kerajaan hari ini tidak memberi perhatian (terhadap agama Islam), kerajaan inilah yang paling memberi perhatian kepada pembangunan hal ehwal agama Islam,” katanya merasmikan Program MADANI Kita (PMK) 2026, di sini hari ini.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam memperkukuh pembangunan hal ehwal Islam secara menyeluruh.
Beliau berkata, Malaysia juga terus mencatat pencapaian membanggakan dalam pelbagai bidang berkaitan pembangunan Islam termasuk pengurusan haji, industri halal dan perbankan Islam.
“Saya baru balik haji baru-baru ini. Kita dapat pengurusan haji terbaik di dunia. Lima tahun berturut-turut pengurusan haji terbaik di dunia. Kita bukan lagi pemain nasional, kita adalah nombor satu, champion team. Tidak pernah kalah lagi,” katanya.
Dalam bidang halal pula, Zulkifli berkata, Malaysia terus berada pada kedudukan nombor satu dunia.
“Nak cari halal yang paling halal, kita nombor satu di dunia. Tak ada orang boleh cabar kita lagi. Apa lagi yang kita nombor satu di dunia? Perbankan Islam. Perbankan Islam kita nombor satu di dunia, sudah 10 tahun berturut-turut. Tidak pernah kalah lagi,” katanya.
Mengulas mengenai program PMK yang dijalankan di Lembah Pantai hari ini, Zulkifli berkata, merupakan salah satu usaha kerajaan mendekatkan dan menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra, mudah dicapai dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Jika kebiasaannya, tuan puan semua perlu pergi ke pejabat seawal pagi untuk mendapatkan perkhidmatan atau bertanyakan soalan, tetapi hari ini, kami bawakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, semuanya turun padang memberikan bantuan dan maklumat terus kepada tuan puan semua.
“Kita ada perkhidmatan kaunter bantuan dan khidmat nasihat kerajaan. Di situ tuan puan boleh dapatkan penerangan mengenai bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi yang berkaitan.
“Kita bawakan juga kaunter pemeriksaan kesihatan, dalam masa yang sama kita letak reruai untuk sampaikan kempen kesedaran dan penjagaan kesihatan,” katanya. – UTUSAN










