Warga emas rugi RM1.9 juta diperdaya `phone scam’ menyamar pegawai polis

Warga emas rugi RM1.9 juta diperdaya `phone scam’ menyamar pegawai polis

MOHD. ALWI ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun kerugian RM1.9 juta selepas diperdaya sindiket penipuan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kelmarin.

Katanya, penipuan itu bermula selepas mangsa dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum diperdaya sehingga menyebabkan sejumlah besar wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali.

“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai menggunakan modus operandi phone scam dengan suspek menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menimbulkan rasa takut dan meyakinkan mangsa bahawa dia terlibat dalam suatu kesalahan atau siasatan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan mengikut arahan yang diberikan sehingga wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mohd. Alwi menegaskan, pihaknya tidak akan mengarahkan mana-mana individu memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.

Justeru itu katanya, orang ramai diminta supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Jika menerima panggilan mencurigakan, segera tamatkan panggilan, jangan dedahkan maklumat perbankan, nombor TAC atau OTP, kata laluan dan maklumat peribadi serta lakukan pengesahan melalui saluran rasmi agensi berkenaan.

“Bagi warga emas, pesara dan ahli keluarga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan saling mengingatkan agar tidak membuat sebarang transaksi kewangan berdasarkan arahan melalui telefon tanpa pengesahan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×