PETALING JAYA: Hanya berbaki dua tahun lebih sebelum penggal 2025-2029 berakhir, calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu setiap keputusan selepas pemilihan badan induk itu memberi impak segera kepada pembangunan bola sepak negara.
Menurut Ab Ghani, tempoh yang ada perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana terlalu banyak perkara perlu diberi perhatian dalam ekosistem bola sepak tempatan.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan barisan kepimpinan yang bakal dipilih mampu menyusun semula keutamaan FAM dengan mengambil kira keperluan semua pihak yang terlibat.
“Yang lebih penting terlebih dahulu ialah untuk baki penggal 2025 hingga 2029 yang hanya mempunyai tempoh lebih dua tahun sahaja lagi, kita dapat membentuk satu pasukan yang mempunyai visi yang sama dan mampu bekerja secara kolektif.
“Bagi saya, kepentingan bola sepak negara perlu diletakkan sebagai keutamaan. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bukannya secara individu,” katanya.
Ab Ghani berkata, walaupun beliau mempunyai visi tersendiri sekiranya diberi mandat menerajui FAM, hala tuju badan induk itu tidak boleh ditentukan oleh seorang individu sahaja.
Sebaliknya, katanya, setiap keputusan perlu mengambil kira pandangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) serta badan gabungan bagi memastikan dasar yang dirangka benar-benar mencerminkan keperluan bola sepak Malaysia.
“FAM adalah sebuah persatuan membabitkan badan-badan gabungan dan barisan EXCO yang akan dipilih bersama dalam pemilihan ini nanti.
“Jadi, tidak sesuai untuk saya membuat keputusan atau menentukan hala tuju seorang diri kerana proses perancangan FAM perlu mengambil kira pandangan EXCO lain yang akan bersama-sama menerajui FAM, selain kepentingan setiap badan gabungan,” katanya.
Pada pemilihan yang dijadual berlangsung menerusi Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 September ini, Ab Ghani akan berdepan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar bagi merebut jawatan Presiden.
Persaingan sengit turut berlaku bagi jawatan Naib Presiden 1 yang menampilkan Datuk Seri Rosmadi Ismail, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar.-UTUSAN










