PETALING JAYA: Sudah 11 hari berlalu sejak tragedi banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu. Namun, nasib 55 rakyat Malaysia yang masih hilang terus menjadi tanda tanya, menyebabkan keluarga mereka hidup dalam penantian, keresahan dan tanpa kepastian.
Pukul 10 pagi semalam, seramai 11 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal dalam usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, yang diharap dapat memberi sinar dan harapan baharu kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Menaiki pesawat A400M Atlas milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), SMART membawa 12.4 tan peralatan menyelamat dan pengesanan, sistem komunikasi, dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khas bagi operasi menyelamat yang akan tertumpu di kawasan terowong, selain sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak dengan muatan 10 tan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pasukan SMART akan memberi keutamaan kepada kawasan terakhir 55 rakyat Malaysia berkenaan dikesan.
Menurut beliau, operasi itu mendapat kelulusan kerajaan Nepal dan akan diketuai seorang komander yang mempunyai kepakaran dalam operasi mencari dan menyelamat, dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.
“Setakat ini diberi gambaran seolah-olah kita pergi ke kawasan terowong. Saya tidak pasti tempatnya. Selepas tiba, mereka akan menerima taklimat daripada wakil Malaysia mengenai keadaan secara umum sebelum pihak rakan sejawat SMART di sana memberikan taklimat pengoperasian,” katanya.
Ketika pasukan SMART dikerah ke Nepal, ada keluarga mangsa yang enggan hanya menunggu apabila Hani Othman, isteri kepada pegawai latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir, kini berada di Nepal untuk mendapatkan sendiri jawapan mengenai nasib dan perkembangan terkini suaminya.
“Hari ini (semalam), baru saya dibenarkan masuk ke kawasan bencana. Saya nak pergi tengok sendiri macam mana keadaan dekat situ.
“Bila saya ada dekat sana, saya boleh tengok sendiri dengan mata saya, barulah boleh fikir macam mana penyelesaian yang kita boleh buat.
“Kalau saya masih tidak nampak keadaan sebenar di sana, saya pun tidak tenang,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Mohd. Fakhrul merupakan antara sembilan rakyat Malaysia dalam kumpulan Team Loe yang menyertai misi ke Everest Base Camp (EBC) dan masih hilang. Turut hilang ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd. Sani Harul.
Hani berkata, beliau menyertai sukarelawan tempatan untuk bergerak ke kawasan berkenaan menggunakan jip dan trak membawa barangan bantuan.
Menurutnya, lokasi yang akan dituju bukan kawasan yang terjejas secara langsung akibat bencana, sebaliknya kawasan lebih rendah yang menjadi tempat mangsa dibawa dan dikumpulkan.
Beliau difahamkan kerajaan Malaysia menyediakan sehingga 50 anggota bagi membantu operasi berkenaan. Namun, hanya 11 anggota dibenarkan kerajaan Nepal untuk menyertai operasi tersebut.
Hani turut bertemu beberapa penduduk tempatan yang mengenali pemandu pelancong dikenali sebagai Ganesh yang dipercayai membawa suaminya bersama sembilan rakyat Malaysia ketika kejadian.
Bagi Hani, selagi tiada bukti atau petunjuk yang menunjukkan sebaliknya, harapan untuk menemukan suaminya dan rakyat Malaysia lain dalam keadaan selamat tetap ada.
Sementara itu, isteri Muhamad Nasir Abdul Talib, Jamaliah Tengku Ismail berkata, beliau masih menaruh harapan agar suaminya dan mangsa lain ditemukan dalam keadaan selamat.
Katanya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan beliau hanya mengikuti perkembangan melalui Hani dan beberapa ahli keluarga rakyat Malaysia yang berada di Nepal.
“Memang tak ada perkembangan. Rakan-rakan yang berada di sana pergi tengok lokasi kejadian dan tempat orang yang selamat dikumpulkan.
“Mereka juga cuba usaha untuk mencari, tetapi setakat ini masih belum ada apa-apa petunjuk.
“Kami di sini hanya mampu berdoa. Kita sangat mengharapkan keajaiban berlaku dan mereka semua dapat ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Jamaliah berkata, harapannya masih tinggi meskipun tempoh kehilangan yang semakin panjang menimbulkan pelbagai kebimbangan dalam kalangan keluarga.
“Harapan itu masih tinggi. Sepanjang tempoh ini, perasaan memang bercampur-baur. Kita nak tahu juga apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Katanya, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan hanya berharap satu petunjuk dapat ditemukan bagi merungkai persoalan mengenai nasib mereka.
“Kita berharap dia balik dengan selamat, tetapi apa pun yang berlaku, kita serahkan kepada Allah.
“Cuma kita berharap ada tanda atau petunjuk supaya status ‘hilang’ itu dapat berubah kepada satu status yang lebih jelas.
“Kita tak mahu terus tertanya-tanya dan menunggu tanpa kepastian,” luahnya. – UTUSAN










