AI kesan berat ikan tanpa perlu disentuh

AI kesan berat ikan tanpa perlu disentuh

YOSOF Kadase (kiri) bersama Dr. Ghazali Abdul Rahman (kanan) menunjukkan inovasi projek akuakultur pintar mereka pada MAHA 2026 di MAEPS, Serdang, semalam. - UTUSAN/AQILAH NASUHA MAZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Sebuah inovasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membolehkan berat dan panjang ikan dikenal pasti hanya menggunakan kamera yang digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI), tanpa perlu menyentuh atau mengangkat ikan.

Pensyarah UniKL merangkap pembangun produk, Yosof Kadase berkata, sistem dikenali sebagai iFishWeight itu dilatih menggunakan data 180 ekor ikan daripada Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (FRI), Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, kamera akan mengesan panjang badan ikan dari kepala hingga ekor sebelum data itu dianalisis AI untuk meramal berat ikan secara automatik.

“Kami ajar komputer ini menggunakan ukuran panjang dan berat 180 ekor ikan. Apabila sistem menerima ukuran panjang ikan baharu, ia boleh meramal berat ikan tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, ketepatan sistem boleh ditingkatkan dengan menambah jumlah data, dengan sasaran sehingga 1,000 set data pada masa depan.

Beliau berkata, inovasi itu dibangunkan bagi mengatasi masalah pengendalian ikan secara manual, khususnya proses penggredan mengikut saiz sebelum dihantar kepada penternak.

“Kerja sebelum ini dilakukan secara manual sehingga menyebabkan ikan stres dan ada yang mati akibat diangkat serta dipindahkan.

“FRI meminta kami menghasilkan sistem yang membolehkan berat ikan dikenal pasti tanpa menyentuhnya,” katanya.

Yosof berkata, sistem itu turut membantu menentukan jumlah makanan berdasarkan berat ikan, sekali gus mengelakkan pemberian makanan berlebihan dan mengurangkan pembaziran kos.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UniKL, Dr. Ghazali Abdul Rahman berkata, inovasi berkenaan hasil kerjasama berterusan UniKL dan FRI.

iFishWeight dijangka membantu industri akuakultur mengurangkan tekanan serta kadar kematian ikan akibat pengendalian manual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×