Nepal belum putus asa cari mangsa banjir

Nepal belum putus asa cari mangsa banjir

KERJA-kerja mencari dan menyelamat ditingkatkan selepas banjir kilat melanda Pusat Trishuli di daerah Nuwakot, Nepal.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Pasukan penyelamat Nepal mempergiat operasi mencari mangsa selepas dua pekerja hidroelektrik berjaya ditemukan, ketika angka kematian akibat banjir dahsyat di Nepal dan China mencecah 1,325 orang.

Kedua-dua pekerja itu adalah antara ratusan pekerja hidroelektrik yang hilang selepas arus deras dan lumpur seperti tsunami melanda kawasan sempadan China-Nepal susulan kejadian runtuhan glasier bulan lalu.

Agensi bencana Nepal memaklumkan 1,294 mayat ditemukan setakat ini, manakala 5,053 orang masih hilang. Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang maut dan 531 lagi masih hilang.

“Kami menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak pagi,” kata jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, kepada AFP semalam.

Operasi mencari diteruskan di terowong Trishuli 3A, lokasi dua pekerja berkenaan diselamatkan pada Jumaat, selain beberapa kawasan lain yang terjejas.

Sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik dilaporkan musnah akibat bencana banjir itu.

“Kerja-kerja juga sedang dijalankan di dalam terowong. Kami masih belum menerima perkembangan terkini, namun usaha terus dijalankan,” kata Basnet. 

Kerajaan pada awalnya berkata pihaknya percaya lebih 100 pekerja mungkin masih hidup di dalam beberapa terowong yang terjejas.

Pasukan penyelamat menyifatkan kejayaan menemukan dua lelaki yang diselaputi lumpur selepas terperangkap selama sembilan hari sebagai satu ‘keajaiban’. Kedua-duanya dikejarkan ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pakar dari India, China, Australia dan Korea Selatan turut membantu pasukan penyelamat Nepal dalam usaha mencari mangsa yang dipercayai masih hidup di dalam terowong yang tertimbus.

Polis Nepal semalam memaklumkan kira-kira 1,030 mayat dikebumikan beramai-ramai dalam kubur selepas sampel DNA diambil untuk pengecaman ahli keluarga pada masa akan datang, susulan kapasiti bilik mayat yang sudah penuh.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×