WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang merangka strategi untuk memperkukuh pengaruh Washington di Asia Barat selepas perang dengan Iran, termasuk usaha membendung Teheran melalui kerjasama serantau dan memperluas hubungan Israel dengan negara jirannya.
Menurut laporan Axios, strategi itu masih di peringkat awal dan dijangka menjadi asas kepada dasar AS selepas perang dengan Iran serta dalam tempoh dua tahun terakhir pentadbiran Trump.
Perancangan itu kini dibincangkan di peringkat kepimpinan politik tertinggi dan antara agensi kerajaan.
Trump turut membincangkan strategi berkenaan dengan penasihat kanannya dalam dua pertemuan baru-baru ini, malah secara tertutup menyifatkan rancangan itu sebagai sesuatu yang jauh lebih besar untuk Asia Barat.
Tiga keutamaan dikenal pasti dalam strategi berkenaan, termasuk membentuk pakatan serantau bersama sekutu AS bagi membendung Iran, dengan Washington berperanan sebagai penjamin keselamatan.
Selain itu, menangani isu susulan serangan 7 Oktober 2023, termasuk fasa seterusnya pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan Trump, perjanjian keselamatan antara Israel dan Syria serta pelaksanaan perjanjian antara Israel-Lubnan.
Ia juga merangkumi perluasan Perjanjian Abraham menerusi kemungkinan menormalisasikan hubungan antara Arab Saudi dan Israel.
Laporan itu berkata, pilihan raya Israel pada 27 Oktober dan pilihan raya pertengahan penggal AS pada November menjadi antara pertimbangan penting.
Pentadbiran Trump berharap kerajaan baharu Israel akan menyokong strategi berkenaan, namun pegawai AS mendakwa akan meneruskannya tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya, termasuk sekiranya berlaku kebuntuan politik.
Sumber yang diberi taklimat mengenai proses itu mendakwa, draf strategi tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi untuk disiapkan.
“Rancangan itu sedang dirangka, tetapi belum siap sepenuhnya. Matlamatnya adalah untuk menggabungkan pelbagai perkara di rantau ini dan membentuk kerjasama serantau selepas perang.
“Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada semua sekutu AS di rantau ini akan menyokongnya,” kata sumber.










