Insentif dan subsidi bantu pesawah hadapi lonjakan kos

Insentif dan subsidi bantu pesawah hadapi lonjakan kos

Krisis geopolitik di Asia Barat dan ketidaktentuan cuaca termasuk El-Nino boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gangguan tenaga global kini mula mempengaruhi sektor makanan susulan kenaikan kos bahan api yang meningkatkan perbelanjaan input, pengeluaran, pemprosesan dan penghantaran rantaian bekalan makanan negara.

Peningkatan itu bermula di ladang menerusi kos baja, racun perosak, makanan ternakan, diesel, elektrik dan penggunaan jentera sebelum melibatkan urusan pemprosesan, logistik serta penghantaran dari pelabuhan ke pasar.

Tekanan semakin ketara susulan pergolakan geopolitik di Asia Barat.

Situasi itu turut dipengaruhi El Niño, sekatan eksport dan gangguan perdagangan antarabangsa, namun pemantauan bekalan, kepelbagaian sumber import, stok penimbal serta pengeluaran tempatan dapat membantu memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, pengeluaran padi negara berisiko merosot susulan cuaca ekstrem yang mengganggu musim penanaman dan mengehadkan kemampuan pesawah mengusahakan sawah secara berterusan.

Katanya, keadaan terlalu kering mengurangkan sumber air manakala hujan luar biasa lebat dan banjir meningkatkan ancaman penyakit serta perosak yang boleh menjejaskan jumlah dan mutu tanaman.

“El Niño bukan sekadar menyebabkan kemarau, malah mengganggu jadual penanaman serta proses pembungaan, pendebungaan dan pengisian bijirin yang menentukan hasil padi.

“Anggaran Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menunjukkan pengeluaran padi Malaysia pada 2025 sekitar 2.2 juta tan metrik berbanding kira-kira tiga juta tan metrik yang pernah dicapai sebelum ini.

“Masalah cuaca tahun ini melibatkan banyak kawasan di Kedah, Perak dan Kelantan sehingga kita mungkin hanya sempat mengusahakan satu musim penanaman, justeru pasukan petugas khas El Niño perlu diwujudkan bagi menyelaraskan tindakan berkaitan,” katanya.

Abdul Rashid berkata, kenaikan kos pengeluaran ketika hasil tidak menentu semakin mengecilkan margin keuntungan pesawah dan boleh menjejaskan jumlah bekalan yang dihantar ke pasaran sekiranya keluasan tanaman dikurangkan.

Katanya, pesawah kini menyesuaikan jadual penanaman dan pengurusan air serta menggunakan dron, mekanisasi dan Internet Benda (IoT), namun masih memerlukan sokongan agensi berkaitan serta penyelidikan MARDI terhadap varieti padi yang rintang kemarau dan penyakit.

“Harga baja nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) meningkat sehingga 38 peratus, kos operasi dan jentera naik antara 35 hingga 50 peratus, kos pembajakan serta penuaian padi bertambah hingga 55 peratus manakala penghantaran ke Asia Barat melalui Selat Hormuz meningkat antara 50 hingga 80 peratus.

“Kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar dan peningkatan kuota petrol bersubsidi di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 kepada 300 liter sebulan membantu menampung sebahagian kos, tetapi kemampuan petani meneruskan pengeluaran perlu dipastikan bagi menjamin bekalan makanan,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM2.62 bilion bagi subsidi dan insentif subsektor padi pada 2026, meliputi subsidi harga padi, benih padi sah, baja, racun dan takaful tanaman, selain menyediakan Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 sehektar semusim bagi membantu mengurangkan tekanan kos pengeluaran.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, kebergantungan terhadap import menyebabkan perjalanan bekalan dari pelabuhan ke pasar terdedah kepada sekatan eksport, konflik geopolitik, kenaikan kos penghantaran dan cuaca buruk di negara pengeluar.

Katanya, kenaikan harga bahan api, insurans dan penghantaran meningkatkan kos pengeluaran serta logistik, manakala kos yang tidak dapat diserap oleh pengeluar dan peniaga akan dipindahkan kepada pengguna.

“Kebergantungan kepada import bukan semestinya negatif kerana ia membolehkan Malaysia mendapatkan makanan pada kos kompetitif dan mempelbagaikan pilihan pengguna, tetapi pergantungan berlebihan kepada beberapa negara tertentu boleh mewujudkan risiko tumpuan bekalan.

“Pemantauan membolehkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga dikesan lebih awal, kepelbagaian sumber import mengurangkan risiko daripada sesebuah negara pembekal, manakala stok penimbal memberikan masa kepada kerajaan serta industri untuk mendapatkan bekalan alternatif,” ujarnya.

Katanya, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan menguruskan gangguan selepas berlaku kepada strategi ketahanan makanan yang merangkumi produktiviti pertanian, penyimpanan, pengedaran, sumber import dan bekalan input kritikal.

“Penggunaan teknologi, automasi, pertanian pintar dan data perlu diperluas, manakala kemudahan rantaian sejuk, gudang penyimpanan serta bekalan baja, makanan ternakan dan benih perlu diberikan keutamaan.

“Gabungan pengeluaran tempatan yang produktif, import yang dipelbagaikan, stok strategik dan sistem logistik kukuh diperlukan supaya satu gangguan global tidak mudah berubah menjadi krisis makanan domestik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×