PETALING JAYA: Sebanyak 27 jerat haram dilupuskan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) selepas ditemukan di beberapa lokasi ‘hotspot’ di hutan sekitar Selangor dan Perak, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua jerat yang ditemukan itu terdiri daripada jerat spring, jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon.
Katanya, operasi rondaan dan penguatkuasaan yang berlangsung dari 11 hingga 25 Ogos lalu itu melibatkan jabatan Perhilitan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Perbadanan Taman Negeri Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
“Selain 27 jerat berkenaan, rondaan turut menemukan jebak serta beberapa jenis perangkap lain yang tidak termasuk dalam jumlah tersebut.
“Pemilihan jerat pula bergantung kepada spesies hidupan liar yang menjadi sasaran, selain jenis dan saiz jerat yang digunakan.
“Sebagai contoh, jerat spring biasanya dipasang bagi memburu babi hutan, manakala jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon digunakan terhadap hidupan liar berbeza saiz.
“Penggunaannya bergantung kepada diameter dawai atau tali serta saiz pelentik yang digunakan, sama ada bagi menyasarkan hidupan liar bersaiz lebih besar atau kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara prinsipnya, jerat dan pelentik yang bersaiz lebih besar berpotensi menjerat hidupan liar yang lebih besar.
Katanya, jerat yang dipasang bagi menyasarkan spesies tertentu termasuk harimau, tetapi tetap berisiko untuk menjerat hidupan liar lain yang kebetulan melintasi kawasan sekitar.
“Tambahan pula, jerat sering dipasang dan dilakukan penyamaran supaya menyamai persekitaran sekeliling bagi mengurangkan kemungkinan dikesan.
“Keadaan ini menyebabkan spesies bukan sasaran turut berisiko mengalami kecederaan serius atau mati sekiranya terjerat dan tidak dibebaskan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Tambah Abdul Kadir, rondaan berterusan serta operasi bersepadu antara agensi merupakan antara langkah pencegahan penting bagi memastikan hidupan liar dan habitatnya tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.
“Aktiviti pemasangan jerat secara haram bukan sahaja mengancam kelangsungan hidupan liar, malah turut menjejaskan keseimbangan ekosistem flora dan fauna yang menjadi khazanah negara,” katanya. – UTUSAN










