WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan cadangan penjualan bom, kit panduan dan peralatan ketenteraan lain bernilai AS$5 bilion (RM20 bilion) kepada Arab Saudi, yang beberapa kali menjadi sasaran serangan dalam konflik AS-Israel dengan Iran.
Jabatan Negara AS berkata, penjualan itu akan memperkukuh keupayaan pertahanan udara Arab Saudi bagi menghadapi ancaman serantau semasa dan akan datang, selain meningkatkan pertahanan negara serta keserasian sistem ketenteraan dengan tentera AS dan rakan kongsi lain di rantau Teluk.
“Penjualan itu juga akan menyokong matlamat dasar luar dan objektif keselamatan negara AS dengan meningkatkan keselamatan sekutu utama bukan NATO,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.
Arab Saudi menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu pasukan Iran serta kumpulan Houthi yang disokong Teheran di Yemen sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran awal tahun ini.
Jabatan Negara AS turut memaklumkan Kongres mengenai cadangan penjualan kepada Riyadh itu, yang masih memerlukan kelulusan anggota Kongres.- AFP










