BUENOS AIRES: Semua perlawanan bola sepak di Argentina akan dihentikan selama seminit pada hujung minggu ini sebagai tanda penghormatan kepada legenda negara itu, Lionel Messi yang mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.
Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) memutuskan untuk memberi penghormatan khas selepas kapten ikonik La Albiceleste itu mengesahkan persaraan karier antarabangsanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada Isnin lalu.
Sebagai simbol kepada nombor yang cukup sinonim dengan Messi sepanjang kariernya, semua perlawanan lelaki dan wanita di pelbagai divisyen akan dihentikan tepat pada minit ke-10 babak pertama sebelum penyokong memberikan tepukan selama 60 saat.
Menurut AFA, penghormatan itu merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan luar biasa pemain berusia 39 tahun itu yang telah mengubah sejarah bola sepak Argentina sepanjang lebih dua dekad bersama pasukan kebangsaan.
“Bagi perlawanan akan datang membabitkan semua divisyen dan disiplin lelaki serta wanita, perlawanan akan dihentikan pada minit ke-10 separuh masa pertama selama seminit untuk tepukan sebagai penghargaan terhadap karier Messi bersama skuad kebangsaan Argentina.
“Selain itu, stadium yang dilengkapi skrin perlu menayangkan video rasmi persatuan sebelum perlawanan bermula,” kata AFA dalam kenyataan.
Pengumuman persaraan Messi menutup satu era gemilang dalam sejarah bola sepak Argentina, dengan pemenang lapan kali Ballon d’Or itu meninggalkan pentas antarabangsa selepas mengumpul 125 gol sepanjang karier bersama negaranya.
Pada kempen Piala Dunia baru-baru ini, bintang Inter Miami itu memainkan peranan penting membantu Argentina muncul naib juara selepas meledak lapan gol dalam lapan perlawanan.
“Selepas tempoh yang berlalu sejak final itu dan selepas banyak memikirkannya, saya mahu memaklumkan kepada semua bahawa saya bersara daripada skuad kebangsaan.
“Ia keputusan yang menyakitkan dan masih menyakitkan hati, tetapi saya faham inilah masanya. Saya sentiasa berjuang dan memberikan segala-galanya di atas padang untuk jersi ini,” kata Messi.
Persaraan kali ini merupakan kali kedua dia membuat keputusan meninggalkan arena antarabangsa selepas pernah berbuat demikian susulan kekalahan kepada Chile pada final Copa America 2016.
Namun ketika itu, Messi mengubah pendiriannya dan kembali menyarung jersi Argentina sebelum melengkapkan legasi luar biasa dengan membantu negaranya menjuarai Copa America 2021, Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024.
Walaupun tirai karier antarabangsanya dilabuhkan, Messi masih belum memberikan bayangan sama ada musim ini akan menjadi musim terakhirnya bersama Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Bintang kelahiran Rosario itu kini memasuki musim keempat bersama kelab Amerika Syarikat tersebut selepas menyertainya pada 2023 dan terus membuktikan pengaruhnya apabila membantu Inter Miami menjulang Piala MLS musim lalu selain meraih anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk dua musim berturut-turut.– AGENSI










