Apabila kita jaga diri kemas dan wangi, rezeki akan masuk- Zaki Yamani - Utusan Malaysia

Apabila kita jaga diri kemas dan wangi, rezeki akan masuk- Zaki Yamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani mengakui sentiasa memastikan penampilannya berada dalam keadaan kemas, bersih dan wangi sebagai sebahagian daripada usaha menjaga imej dirinya sebagai seorang figura awam.

Menurut Zaki, perkara berkenaan bukan sekadar berkaitan penampilan ketika berada di atas pentas, sebaliknya menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang diamalkannya setiap hari.

Katanya, amalan menjaga penampilan itu sedikit sebanyak dipengaruhi oleh ibunya yang sebelum ini pernah menjaga bapanya, Datuk Jamal Abdillah dan secara tidak langsung menurunkan nilai serta gaya hidup tersebut kepadanya.

“Alhamdulillah, saya beruntung sebab ibu saya menjaga ayah saya dulu. Mak saya turunkan kepada saya secara sikit demi sikit. Saya tak dapat duduk sekali dan ada beberapa perkara sahaja yang saya boleh nampak daripada gaya hidup, tetapi yang nampak segalanya adalah mak saya dan benda itu diturunkan kepada saya sedikit demi sedikit.

“Saya pula suka penampilan dalam keadaan kemas, saya tak suka terlalu nampak macam tidak bersedia. Kalau keluar rumah macam nak pergi jalan, padahal nak pergi 7-Eleven sahaja pun, saya pakai kasut, tak pakai selipar. Ada masa saya pakai selipar, ada masa tidak, tetapi biasanya setiap hari saya pakai kasut apabila keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Single Akur di ibu negara, hari ini.

Menurut penyanyi itu, menjaga diri dengan baik bukan sahaja membuatkan seseorang kelihatan lebih yakin, malah baginya ia turut membuka ruang kepada pelbagai peluang, khususnya dalam kerjaya seni.

“Sebab saya rasa bila kita jaga diri dalam keadaan kemas, wangi dan sebagainya, rezeki akan masuk. Itu cara saya melihatnya. Mana tahu tiba-tiba ada orang di luar nak berbual mengenai persembahan atau apa-apa dan dia tertarik, kita boleh buat perhubungan awam (PR) dan macam-macam lagi. Jadi, ya, saya memang suka berpenampilan kemas dan sentiasa bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Zaki turut menitikberatkan aspek kecergasan fizikal sebagai persediaan menghadapi tuntutan kerjaya sebagai penyanyi.

Katanya, dia kerap ke gimnasium selain melakukan latihan kardio bagi memastikan stamina berada pada tahap terbaik, terutama apabila perlu menjayakan persembahan yang memerlukan tenaga tinggi.

“Bukan dari segi penampilan sahaja, tetapi dari segi kecergasan juga. Saya kerap pergi ke gimnasium dan melakukan kardio supaya sentiasa bersedia untuk apa-apa. Kalau sekiranya ada persembahan lima atau enam lagu, atau sampai 10 lagu yang sangat tinggi tuntutan vokalnya dan memerlukan tenaga, saya memang pastikan diri saya berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

Zaki berkata, keperluan seseorang artis untuk menjaga imej bergantung kepada visi serta cara individu berkenaan membawa dirinya dalam industri hiburan.

“Perlu, tetapi ia bergantung kepada setiap individu artis, mereka nak cari visi macam mana dan visi apa yang mereka ada. Kalau visi saya, saya memang nak sentiasa nampak kemas. Di rumah pun saya suka nampak kemas. Jadi, macam itulah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×