Terbuka bawa watak LGBT, Josiah Hogan kekal prinsip jaga batas - Utusan Malaysia

Terbuka bawa watak LGBT, Josiah Hogan kekal prinsip jaga batas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Josiah Hogan, mengakui tiada masalah menjayakan watak yang mengangkat isu hubungan sejenis atau LGBT dengan bertujuan memberi kesedaran kepada penonton.

Menurut Josiah, 39, dia bagaimanapun masih berpegang dengan prinsipnya untuk menjaga batas agama dan budaya negara demi memastikan pengajaran yang diterapkan dalam sesebuah naskhah yang dijayakan sampai kepada penonton.

“Saya akan terima sebab sebagai pelakon watak itu mampu mencabar kredibiliti saya. Tapi perlu tahulah apa batas-batasnya kerana sebagai pelakon, cabarannya adalah watak macam mana yang boleh kita bawakan.

“Bagi saya kalau naskhah itu dipersembahkan dengan apa yang penonton boleh faham, mereka tidak akan kecam,” katanya ketika ditemui pada pelancaran trailer, poster dan runut bunyi Orang Perang, hari ini.

Tambah Josiah, walaupun platform digital memberikan kebebasan kepada industri untuk berkarya, namun batas yang melanggar kesucian agama tetap perlu dijaga.

“Kita perlu faham bahawa Malaysia ialah negara konservatif. Dalam apa-apa perkara pun, agama perlu diutamakan. Kita juga perlu menghormati Rukun Negara. Jika mahu menyampaikan sesuatu mesej, kita perlu mengambil kira peraturan yang ada.

“Kebebasan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghasilkan kandungan tanpa mengambil kira kesesuaian dengan budaya dan nilai masyarakat tempatan. Jadi kalau kita mahu sampaikan sesuatu mesej, kita perlu tengok apa peraturan yang kita ada,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon itu turut menegaskan setiap pelakon juga mempunyai hak untuk membuat rundingan dengan pihak pengarah seandainya babak yang perlu dijayakan melampaui batas dan garis panduan biarpun sudah menandatangai kontrak.

“Kadang-kadang kami tidak tahu watak dan babak yang akan dibawa tapi disebabkan dan tandatangan kontrak kita kena akur dengna kehendak produksi.

“Tapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berunding dengan pengarah. Tidak dinafikan cerita itu ada mesej yang mahu disampaikan tetapi tetap perlu jaga batas.

“Saya tidak berniat mahu petik nama sesiapa, tapi kadang-kadang saya perhatikan apabila terdapat babak yang tidak sepatutnya ramai saja yang gembira di set tapi bila dibantai barulah semua gelabah,” kongsinya.

Turut memberi contoh beberapa karya tempatan, Josiah menyifatkan karya sebegitu tetap mengekalkan jalan cerita yang sesuai meskipun mengangkat isu sensitif.

“Dalam Seribu Tahun, misalnya, terdapat watak lelaki sesama lelaki yang ditampilkan di televisyen, tetapi penceritaan dan mesejnya masih dijaga.

“Begitu juga dengan Khunsa lakonan Vanidah Imran dan Faizal Hussein. Tapi bukan bererti kreativiti boleh dilonggarkan atau masyarakat perlu berfikiran terbuka tapi macam saya kata kena fikirkan soal agama dan budaya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×