PADA malam 22 Ogos lalu, selatan Thailand kembali bergolak. Sebanyak 51 insiden melibatkan letupan, pembakaran dan kerosakan harta dilaporkan berlaku di Pattani, Yala dan Narathiwat dalam tempoh hanya beberapa jam.
Tiga orang awam cedera, manakala landasan kereta api di Narathiwat dibom sehingga mengganggu perjalanan. Beberapa kemudahan awam turut menjadi sasaran.
Tiada kumpulan segera mengaku bertanggungjawab, namun perhatian sekali lagi tertumpu kepada Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), gerakan pemisah utama dalam konflik yang berlarutan lebih dua dekad.
Di Malaysia, perkembangan seperti ini lazimnya segera dibaca melalui lensa keselamatan. Persoalan yang timbul ialah sama ada rakyat Malaysia selamat berkunjung ke selatan Thailand, kemungkinan konflik merebak ke negara ini dan sejauh mana kawalan sempadan perlu dipertingkatkan.
Malah selepas serangan tersebut, Pasukan Gerakan Am (PGA) memperkukuh risikan serta kawalan di sepanjang sempadan dari Perlis hingga Kelantan.
Kebimbangan itu mempunyai asas. Namun, apabila Patani hanya muncul dalam kesedaran kita setiap kali bom meletup atau kawalan sempadan diperketatkan, maka persoalan sejarah, budaya dan identiti yang jauh lebih panjang akhirnya dipersempitkan kepada satu naratif: BRN sebagai ancaman keselamatan Thailand.
Tulisan Abi Putri dalam TUNAS Media bertajuk Negara Gagal Mematahkan BRN membuka ruang untuk melihat persoalan tersebut dari sudut yang berbeza.
Selepas lebih dua dekad operasi keselamatan, mengapa sebuah negara yang memiliki tentera, polis, birokrasi, undang-undang serta sumber yang jauh lebih besar masih belum mampu menyelesaikan konflik berkenaan?
Lebih 7,800 orang terbunuh sejak gelombang konflik semasa tercetus pada 2004. Serangan terbaharu pula memperlihatkan keganasan masih menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di wilayah berkenaan.
Konflik ini juga perlu dibaca sebagai pertentangan naratif dan makna tentang bagaimana sejarah diingati, identiti dibentuk serta sebuah masyarakat memahami tanah yang didiaminya.
SEJARAH DI SEBALIK SEMPADAN
Patani mempunyai sejarah panjang sebagai sebuah kesultanan Melayu dengan tradisi politik, budaya dan keagamaannya sendiri.
Penguasaan Siam berkembang melalui proses yang panjang. Patani kemudiannya dipecahkan kepada beberapa wilayah pentadbiran tempatan sebelum pemusatan kuasa Bangkok semakin menghakis kedudukan elit serta struktur politik tradisional.
Pada 10 Mac 1909, Britain dan Siam menandatangani Perjanjian Anglo-Siam di Bangkok. Perjanjian tersebut bukan sekadar urusan teknikal menentukan sempadan. Ia lahir dalam zaman imperialisme ketika Britain sedang memperkukuh kepentingan kolonial dan strategiknya di Semenanjung Melayu, manakala Siam berusaha mempertahankan wilayah serta kedudukannya daripada tekanan kuasa Eropah.
Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berada dalam lingkungan British, sementara Patani kekal di bawah Siam.
Dalam percaturan dua kuasa tersebut, masyarakat yang hidup di wilayah berkenaan bukan pihak utama yang menentukan bagaimana ruang politik mereka harus disusun.
Bagi Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat ialah wilayah selatan dalam sebuah negara berdaulat. Naratifnya dibentuk melalui bahasa keselamatan, kestabilan, undang-undang dan integriti wilayah.
Sebaliknya, istilah ‘Patani’ membawa dunia makna yang berbeza. Ia berkait dengan memori kesultanan, bahasa Melayu, Islam, budaya tempatan serta pengalaman sejarah masyarakat Melayu-Muslim yang terbentuk jauh sebelum munculnya sempadan negara moden.
Dua naratif itu merujuk ruang geografi yang hampir sama tetapi memberikan makna berlainan terhadap wilayah tersebut.
Konflik Patani dengan itu bukan sekadar persoalan siapa menguasai sesuatu kawasan. Lebih mendalam,menyentuh persoalan siapa mempunyai kuasa menentukan makna wilayah berkenaan.
Negara mempunyai kemampuan menentukan sempadan, pentadbiran dan undang-undang. Negara juga boleh membina institusi, menempatkan pasukan keselamatan serta menyusun struktur pemerintahan. Namun, jauh lebih sukar untuk menentukan bagaimana sesebuah masyarakat harus mengingati masa lalunya.
Sejarah melahirkan memori. Memori membantu membentuk identiti. Identiti pula memberikan makna kepada ruang.
Sebab itulah perkembangan terbaru mengenai pendirian BRN menjadi penting.
Analisis RSIS pada Mac lalu mencatatkan BRN mengemukakan end state perjuangannya sebagai self-government within Thailand, bukannya semestinya kemerdekaan penuh. Kerangka tersebut merangkumi autonomi, perkongsian kuasa serta perlindungan identiti Melayu-Muslim.
Pada 2 September, gambaran itu menjadi lebih konkrit apabila jurucakap Pasukan Perunding BRN, Dr. Nikmatullah Seri, memberitahu Utusan Malaysia BRN tidak menuntut kemerdekaan atau kuasa mutlak. Sebaliknya, mereka mahukan pemerintahan sendiri berasaskan perkongsian kuasa dengan Narathiwat, Pattani dan Yala disatukan sebagai satu wilayah.
Cadangan itu merangkumi seorang pentadbir atau wali al-amri, majlis syura sebagai badan perundangan serta sistem kehakiman syariah. BRN turut membangkitkan persoalan pengagihan kekayaan dan sumber asli yang menurutnya tidak dinikmati secara adil oleh masyarakat Patani.
Perkembangan tersebut mengubah medan naratif konflik.
Jika perjuangan Patani hanya dibaca melalui bahasa pemisahan, pilihannya kelihatan binari kekal bersama Thailand atau menjadi negara merdeka.
Gagasan pemerintahan sendiri memperkenalkan kemungkinan lain, iaitu merundingkan bentuk kuasa dalam sempadan negara sedia ada tanpa semestinya mengubah sempadan antarabangsa.
Dengan kata lain, persoalan yang pada 1909 berkisar tentang di mana sempadan harus ditentukan, kini bergerak kepada persoalan bagaimana masyarakat di dalam sempadan itu harus diperintah.
Namun, tuntutan BRN juga tidak boleh terus dianggap mewakili keseluruhan masyarakat Patani.
Cadangan wali al-amri mestilah Melayu dan Islam serta kewujudan sistem kehakiman syariah menimbulkan persoalan yang perlu dibahaskan. Bagaimanakah kedudukan masyarakat Buddha Thai, Cina, bukan Islam dan kelompok minoriti lain dalam pemerintahan yang dibayangkan itu?
Jika tuntutannya ialah pengiktirafan terhadap identiti Patani, struktur pemerintahan yang dicadangkan juga perlu menjelaskan bagaimana kepelbagaian dalam Patani sendiri akan dihormati.
Persoalan naratif akhirnya berlaku pada dua peringkat. Patani menuntut ruang daripada naratif pusat Bangkok tetapi pada masa sama perlu memastikan satu tafsiran tentang ‘Patani’ tidak pula menenggelamkan suara lain yang hidup dalam masyarakat tersebut.
Bangkok sendiri memperlihatkan tanda pendekatan lama tidak lagi mencukupi. Ketua perunding keamanan Thailand, Thanut Suvarnananda, mahu proses rundingan bergerak daripada pertukaran konsesi untuk mengurangkan keganasan kepada perbincangan mengenai akar politik konflik, termasuk persoalan pemerintahan dan autonomi.
MALAYSIA SEBAGAI JALAN DAMAI
Thailand juga mahu Malaysia terus memainkan peranan sebagai fasilitator proses dialog. BRN pula tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab terhadap kekerasan. Sejarah, budaya dan identiti tidak memberikan legitimasi untuk membahayakan orang awam.
Jika BRN mahu gagasan pemerintahan sendiri dilihat sebagai projek politik yang serius, kekuatan bersenjata akhirnya perlu digantikan dengan legitimasi masyarakat, perundingan serta institusi yang inklusif.
Malaysia pula wajar melihat Patani melampaui persoalan keselamatan pelancong dan kawalan sempadan.
Kedekatan sejarah serta budaya, selain peranan Kuala Lumpur dalam proses damai, menjadikan Malaysia berkepentingan terhadap penyelesaian politik yang dapat diterima pihak-pihak terlibat.
Lebih satu abad lalu, Britain dan Siam menentukan sempadan berdasarkan percaturan kepentingan negara serta kuasa pada zamannya.
Hari ini, garisan itu masih kekal. Apa yang belum selesai ialah persoalan manusia yang hidup, sejarah yang mereka ingati, identiti yang dipertahankan, makna yang diberikan kepada tanah tersebut dan sejauh mana mereka mempunyai suara dalam menentukan cara mereka diperintah.
Pada 1909, sempadan ditentukan tanpa masyarakat Patani menjadi penentu utamanya. Pada 2026, persoalan yang kembali ke meja politik ialah sejauh mana mereka boleh menjadi penentu masa depan sendiri.
Sempadan mungkin sudah ditentukan. Tetapi selagi persoalan sejarah, identiti, kuasa dan suara masyarakat belum menemukan titik temu, konflik Patani mungkin terus menjadi persoalan tanpa kesudahan. –UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.










