Perdamaian melalui sulh

Perdamaian melalui sulh

PENUBUHAN Pusat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan memperlihatkan usaha memperkukuh penyelesaian pertikaian secara damai berlandaskan prinsip Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHKAMAH syariah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik rumah tangga seperti pernikahan, perceraian, nafkah, hak penjagaan anak dan harta sepencarian.

Tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil.”

Dalam konteks perundangan syariah, hakim perlu menilai tuntutan, pembelaan, fakta serta keterangan pihak-pihak secara saksama berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang berkaitan.

Prinsip keadilan turut disertai ihsan seperti yang ditegaskan dalam Surah al-Nahl, ayat 90 yang menyeru manusia berlaku adil dan berbuat kebaikan.

Namun, keputusan mahkamah tidak semestinya memenuhi harapan semua pihak. Dalam konflik rumah tangga, persoalannya bukan hanya berkaitan siapa yang menang atau kalah tetapi bagaimana pertikaian dapat diselesaikan tanpa menambahkan keretakan hubungan kekeluargaan. Justeru, mekanisme sulh mempunyai peranan penting sebagai pelengkap kepada proses pengadilan.

Penubuhan Pusat Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan memperlihatkan usaha memperkukuh penyelesaian pertikaian secara damai berlandaskan prinsip Islam. Pusat ini memberi tumpuan kepada beberapa pendekatan termasuk hakam, perdamaian, islah, khidmat nasihat dan mediasi.

Dalam konflik perceraian, Islam turut menggalakkan usaha mendamaikan pasangan sebelum perkahwinan berakhir. Di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pasangan boleh melalui proses jawatankuasa pendamai. Jika usaha tersebut gagal, kes boleh dirujuk kepada hakam melalui proses tahkim sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 48.

Selepas perceraian, tuntutan berkaitan nafkah, mutaah, hak penjagaan anak dan harta sepencarian juga boleh diselesaikan melalui sulh. Pegawai Sulh membantu pihak-pihak berkomunikasi, mengenal pasti isu serta mencari persetujuan secara sukarela.

Jika kesepakatan dicapai, terma persetujuan akan direkodkan sebagai perintah mahkamah dan mengikat kedua-dua pihak. Sebaliknya, tiada pihak boleh dipaksa menerima penyelesaian sekiranya persetujuan tidak tercapai. Kes berkenaan boleh diteruskan melalui prosiding perbicaraan.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan turut memperkenalkan Sulh Fast-Track bagi mempercepat penyelesaian isu selepas perceraian, termasuk nafkah dan hak penjagaan anak. Mekanisme ini memberi peluang kepada pihak yang bertikai mencapai persetujuan tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang serta berpotensi menambah tekanan emosi.

Keberkesanan sulh bagaimanapun bergantung pada kesediaan kedua-dua pihak untuk berunding, mendengar pandangan serta mencari jalan keluar tanpa saling menyalahkan. Pendekatan ini turut memberi ruang kepada pasangan menentukan sendiri penyelesaian yang dianggap sesuai dengan keadaan mereka.

Memberikan peluang kepada pihak bertikai untuk berdamai juga merupakan satu bentuk keadilan. Penyelesaian sedemikian membolehkan hak, keperluan dan kebajikan setiap pihak diberi perhatian, khususnya kepentingan anak-anak yang sering menjadi mangsa tidak langsung konflik ibu bapa.

Keadilan tidak semestinya hadir melalui keputusan hakim yang menentukan pihak menang atau kalah. Dalam keadaan tertentu, persetujuan yang dicapai secara sukarela mampu memberikan ketenangan serta membolehkan pihak terbabit meneruskan kehidupan tanpa persengketaan berpanjangan. –UTUSAN

DR. NORJIHAN AB. AZIZ
Pensyarah, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×