725 pelajar jatuh sakit selepas makan makanan percuma - Utusan Malaysia

725 pelajar jatuh sakit selepas makan makanan percuma

KERAJAAN Indonesia memberikan makanan percuma di sekolah-sekolah negara itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ratusan pelajar dan guru di Indonesia jatuh sakit selepas memakan makanan percuma di sekolah, kata pengetua mereka pada Khamis.

Ia merupakan kejadian keracunan makanan besar kedua minggu ini yang dikaitkan dengan program utama kerajaan.

Program makanan bernilai berbilion dolar itu, yang dilancarkan pada Januari tahun lalu, merupakan antara dasar utama Presiden Prabowo Subianto. 

Program tersebut dikritik secara meluas kerana kosnya yang tinggi, dengan ratusan orang mengadakan demonstrasi di Jakarta minggu lalu dan menggesa supaya ia dihentikan.

Sekurang-kurangnya 725 pelajar dan 25 guru di Rembang, di Pulau Jawa, mengadu berasa tidak sihat pada pagi Khamis selepas memakan makanan tengah hari percuma pada Rabu.

“Mereka mengalami cirit-birit, muntah dan berasa loya. Terdapat barisan panjang di bilik air kerana dua daripada tandas kami sedang menjalani kerja-kerja pembaikan,” kata pengetua sekolah, Juhartutik, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama.

Beliau memberitahu pemberita bahawa kakitangan dapur berkata, makanan itu disediakan pada jam 3 pagi waktu tempatan dan dihidangkan pada tengah hari.

Seorang doktor di sebuah klinik kesihatan tempatan, Joko Paryanto berkata, 18 pelajar dan guru terpaksa dibawa untuk mendapatkan rawatan, manakala tiga daripada mereka masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas lebih 500 pelajar di Sidoarjo, Jawa Timur, dibawa ke hospital selepas memakan makanan tengah hari percuma pada Selasa.

Agensi Gizi Nasional, badan kerajaan yang bertanggungjawab mengagihkan makanan percuma itu berkata pada Rabu bahawa sekurang-kurangnya 80 pelajar masih dirawat di hospital.

Program itu dicemari oleh kejadian keracunan makanan secara besar-besaran dan dakwaan rasuah sejak ia dimulakan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×