Meterai secara rasmi kerjasama UMNO-Pas

Meterai secara rasmi kerjasama UMNO-Pas

DUSUKI Ahmad (dua dari kiri) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Ulama UMNO mahu kerjasama antara parti itu dengan Pas dimeterai secara rasmi dan lebih kukuh, tidak hanya bersandarkan run­dingan serta muafakat.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, penyatuan itu sangat penting dalam mengha­dapi pelbagai masalah dan pertembungan yang dijangka berlaku pada masa akan datang, se­lain mengambil kira perkembangan dunia yang semakin terbuka.

Beliau berkata, pelbagai ma­salah dan pertembungan yang bakal dihadapi menjadikan ketika ini masa paling sesuai untuk usaha penyatuan diperkukuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, usaha penyatuan yang dilakukan ketika ini adalah satu ijtihad baik dan perlu didoakan supaya kerjasama berke­naan berjaya serta diberkati ­Allah.

“Selama ini kita hanya berunding dan berunding. Muafakat dan muafakat, kerjasama dalam bentuk begitu sahaja. Kita mengharap untuk akan datang, supaya kerjasama itu dimeteraikan,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Ulama Pas di sini semalam.

Dusuki berkata, kerjasama ber­kenaan tidak seharusnya di­lihat semata-mata untuk ke­pen­tingan UMNO dan Pas, seba­lik­nya perlu diperluas demi ke­pentingan seluruh umat Islam.

“Kerana dalam dunia sekarang ini, dunia langit terbuka dan sebagainya, penyatuan itu adalah amat penting sekali. Saya berasakan ijtihad yang kita buat hari ini dengan penya­tuan itu, dengan kerjasama untuk akan datang, itu adalah amat baik,” katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas mahu hubungan dan kerjasama dengan Pemuda UMNO diperkukuh sebagai langkah awal memimpin agenda penyatuan ummah.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha berkenaan perlu dimulakan sekarang kerana masa depan bergantung kepada keputusan dan tindakan yang dibuat hari ini.

Katanya, sebarang bibit perpecahan dan hubungan sesama umat yang semakin renggang perlu segera dirawat sebelum keadaan menjadi lebih sukar untuk dipulihkan.

“Pemuda mesti berani meneruskan agenda penyatuan ini lebih awal kerana masa depan tidak terbentuk dengan sendirinya. Masa depan dibentuk oleh keputusan yang kita buat pada hari ini.

“Keputusan dan tindakan ini mesti bermula sekarang,” katanya di Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67, semalam.

Afnan Hamimi berkata, Dewan Pemuda Pas mengangkat amanah besar menerusi tema ‘Memimpin Penyatuan’, bukan sekadar bercakap mengenai penyatuan tetapi menjadi penggerak kepada usaha berke­naan.

“Kita tidak mahu sekadar menunggu orang lain membuka ruang. Kita sendiri mesti menjadi jambatan yang mene­mukan kekuatan-kekuatan umat yang selama ini berjauhan. Penyatuan yang kita gagas­kan tidak bermaksud kelompok lain perlu dihapuskan. Kita tidak mahu membina kekuatan Melayu-Islam de­ngan menafikan hak kaum dan agama lain,” katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya pula berkata, agenda penyatuan ummah perlu terus diangkat bagi me­nyatupadukan umat Islam dan memperkukuh kuasa politik Islam di Malaysia serta tidak seharusnya terhenti selepas pilihan raya negeri (PRN) sahaja.

Beliau berkata, cabaran yang perlu dihadapi bukan sekadar menyedarkan masyarakat Islam, malah membina kepercayaan dalam kalangan golo­ngan bukan Islam yang mungkin terperangkap dengan permainan politik perkauman.

Katanya, perkembangan pada PRN Negeri Sembilan menunjukkan kerjasama politik berasaskan konsep ta’awun siyasi mampu memberi kesan terhadap corak pengundian.

“Walaupun kerjasama yang ada dalam PRN Negeri Sembilan adalah bersifat ta’awun siyasi yang longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak, sekurang-kurangnya ia memberikan kesan yang ketara kepada corak pengundian dalam pilihan raya tersebut.

“Kejayaan berkenaan membuktikan agenda penyatuan ummah mempunyai ruang untuk dikembangkan sebagai satu gagasan yang lebih besar, bukan sekadar kerjasama yang muncul ketika pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini