PETALING JAYA: Aplikasi TNG eWallet mencatatkan sebanyak RM1 bilion dibelanjakan oleh pelawat antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Jumlah itu hampir separuh daripada RM2.58 bilion perbelanjaan pelancong asing melalui TNG eWallet sejak April 2025, menunjukkan penggunaan yang pantas sepanjang kempen pelancongan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital), Alan Ni berkata, kejayaan VM2026 bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pelawat yang berjaya ditarik ke Malaysia, tetapi sejauh mana manfaat ekonomi daripada sektor pelancongan dapat dikongsi secara meluas.
“Setiap pelawat perlu dapat berbelanja dengan mudah dan setiap perniagaan di Malaysia harus mempunyai peluang untuk mendapat manfaat daripada perbelanjaan tersebut.
“Banyak perniagaan kecil, penjaja dan peniaga gerai pasar malam sebelum ini secara tradisinya tidak mendapat manfaat daripada perbelanjaan pelancong antarabangsa kerana penerimaan pembayaran kad boleh menjadi mahal dan mencabar dari segi operasi.
“Dengan memperluaskan ekosistem pembayaran kod QR Malaysia kepada pelawat antarabangsa, kami membantu menghubungkan pelancong secara terus dengan perniagaan daripada pelbagai saiz di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Singapura, Indonesia, Brunei, China, Thailand dan Australia antara pasaran pelawat terbesar yang memanfaatkan ekosistem pembayaran QR Malaysia yang selamat dan dikawal selia.
Ketika pelawat antarabangsa semakin menjangkakan pengalaman pembayaran tanpa tunai, banyak perniagaan kecil, mikro dan tidak formal sebelum ini berdepan kekangan untuk menerima pembayaran kad berikutan kos infrastruktur penerimaan kad.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar perbelanjaan pelancong secara tradisinya tertumpu kepada peniaga berskala besar yang boleh menerima kad asing.
Beliau berkata, dengan membolehkan pelawat antarabangsa mendaftar menggunakan nombor telefon mudah alih luar negara dan membuat pembayaran melalui rangkaian DuitNow QR di seluruh Malaysia, TNG eWallet membantu merapatkan jurang tersebut.
“Ia membolehkan pelawat berbelanja dengan mudah di premis perniagaan pelbagai saiz, daripada kedai makan kejiranan dan kedai keluarga kepada premis runcit, tarikan pelancongan serta perkhidmatan pengangkutan.
“Kesan tersebut dapat dilihat berdasarkan lokasi pelawat membuat perbelanjaan.
“Kira-kira 76 peratus transaksi berlaku di premis perniagaan fizikal berbanding dalam talian, menunjukkan perbelanjaan pelancong berlaku dalam ekosistem perniagaan fizikal di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Sektor runcit menyumbang 43 peratus daripada nilai transaksi pelawat antarabangsa, manakala peniaga makanan dan restoran menyumbang 40 peratus lagi.
Ia sekali gus menunjukkan bagaimana pembayaran digital membantu menyalurkan perbelanjaan pelancongan kepada perniagaan harian rakyat Malaysia.
Selain pembayaran, TNG eWallet turut membantu pelawat menemui dan menikmati lebih banyak pengalaman di Malaysia menerusi hab Travel yang menghimpunkan tarikan berdekatan, pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan dalam satu platform. – UTUSAN










