PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) bekerjasama dengan Webull Securities (Malaysia) Sdn. Bhd. (Webull Malaysia) bagi membolehkan rakyat yang layak mengakses pasaran saham Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan saham A China menerusi Gofinance dalam aplikasi TNG eWallet.
Kerjasama strategik itu membolehkan pengguna membuka akaun dagangan Webull Malaysia secara digital menerusi Gofinance serta menyalurkan dana terus daripada baki TNG eWallet, tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan akaun.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital, Desmond Teoh berkata, kerjasama dengan Webull Malaysia memperluas pilihan pelaburan yang tersedia menerusi Gofinance, sekali gus melengkapkan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan selain pembayaran.
Ujarnya, kerjasama itu membolehkan pengguna yang layak mengambil langkah seterusnya dalam pelaburan saham luar negara menerusi proses pembukaan akaun dan pembiayaan secara digital.
“Ia juga menggabungkan capaian TNG eWallet dengan kepakaran khusus Webull Malaysia, membantu kami memenuhi lebih banyak keperluan kewangan pengguna yang melangkaui pembayaran,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Webull di TNG eWallet.
Menerusi Webull Malaysia, pengguna turut boleh mengakses maklumat pasaran, sumber pendidikan dan kemudahan carta bagi menjalankan kajian serta analisis pelaburan sendiri.
Bagi saham AS yang layak, kemudahan dagangan 24 jam pada hari bekerja turut membolehkan pengguna berdagang di luar waktu pasaran biasa AS.
Setakat Ogos 2026, Gofinance mempunyai 8.5 juta pengguna dengan lebih empat juta pengguna melakukan transaksi setiap bulan, manakala 46 peratus memiliki lebih daripada satu produk perkhidmatan kewangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Webull Malaysia, Kenneth Chan berkata, kerjasama itu bertujuan memudahkan akses pelabur baharu kepada pasaran global.
Katanya, beliau menjangkakan sekitar 10 hingga 20 peratus pengguna akan mula menggunakan platform itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Pengguna Gofinance tidak perlu memuat turun aplikasi baharu untuk mengakses hab pembelajaran percuma serta memulakan dagangan saham dan dana dagangan bursa (ETF) Amerika Syarikat dengan komisen sifar dan tanpa yuran platform.
“Bagi Webull, keterangkuman kewangan bukan sekadar memberikan akses kepada platform, tetapi turut menyediakan pengetahuan, keyakinan dan peluang kepada pengguna untuk mengambil langkah pertama dalam pelaburan.
“Ini bagi menjadikan pelaburan global lebih mudah diakses semua,” katanya.
Sempena pelancaran itu, pengguna yang layak mengakses Webull Malaysia menerusi Gofinance dalam TNG eWallet boleh menerima saham pecahan Apple Inc. (NASDAQ: AAPL) bernilai RM30.
Bagi melayakkan diri menerima ganjaran itu, pengguna perlu membuat deposit minimum RM200 ke dalam akaun dagangan dan mengekalkan deposit berkenaan sekurang-kurangnya 30 hari, namun tertakluk kepada terma dan syarat kempen. – UTUSAN









