PETALING JAYA: Penyanyi, Zizi Kirana, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila sahabatnya yang juga komposer, Yasin Sulaiman, 50, dibenarkan keluar selepas lebih empat tahun menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Menurut Zizi, perkembangan itu menjadi petanda baik dan berharap Yasin dapat kembali berkarya serta menghasilkan lebih banyak karya untuk peminat selepas ini.
“Masya-Allah, saya sangat bersyukur dan gembira mendapat berita Abang Yasin sudah keluar. Kita pun sudah lama tidak melihat kemunculan beliau dengan karya-karyanya.
“Jadi, saya percaya berita ini menggembirakan ramai orang yang menyayangi dan menghargai Abang Yasin,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Zizi, dia turut teruja untuk meneruskan lebih banyak kolaborasi bersama Yasin selepas lagu Yang Tinggal dilancarkan pada Julai lalu.
“Bagi saya, lebih bermakna apabila kami baru sahaja melancarkan lagu Yang Tinggal bersama Abang Yasin dan Abang Malique.
“Jadi, saya sangat berharap karya ini menjadi salah satu langkah kecil untuk Abang Yasin kembali berkarya dan berkongsi sesuatu dengan peminat seperti dahulu, insya-Allah.
“Saya mendoakan semoga Allah terus memberikan kekuatan, kesihatan dan ketenangan kepada Abang Yasin. Kita doakan yang baik-baik buat Abang Yasin.
“Tolong seru juga supaya Abang Yasin dapat membuat persembahan lagu Yang Tinggal,” katanya.
Terdahulu, sahabat Yasin yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi, memaklumkan komposer lagu Mimpi Laila itu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, semalam.
Menerusi hantaran sama, Akbar turut memaklumkan sempat menghubungi Yasin ketika penyanyi itu dalam perjalanan pulang dan dipercayai berada berhampiran Tapah.
Pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan Yasin.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. – UTUSAN











