Kerjasama sulung Tang Jie-Su Yin bermula langkah kiri

Kerjasama sulung Tang Jie-Su Yin bermula langkah kiri

CHEN Tang Jie-Su Yin merupakan pasangan yang menjadi pertaruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun yang membuka tirai temasya 19 September-4 Oktober ini. . -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penampilan sulung, Chen Tang Jie-Cheng Su Yin selaku gandingan baharu tidak berjalan lancar, selepas beregu campuran itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Bagaimanapun, kekalahan pasangan itu dapat difahami kerana mereka tunduk di tangan beregu tuan rumah yang menghuni ranking No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 14-21, 19-21 dalam masa 51 minit.

Tang Jie-Su Yin merupakan pasangan yang menjadi pertaruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun yang membuka tirai temasya 19 September-4 Oktober ini.

Sewaktu ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Tang Jie ternyata kecewa dengan kekalahan tersebut memandangkan mereka dalam rangka persiapan ke temasya empat tahun sekali itu.

“Saya buat kesilapan yang tidak sepatutnya saya lakukan, dua pukulan terakhir itu (set kedua) berpunca daripada saya sendiri. Saya terburu-buru,” katanya sewaktu ditemui selepas perlawanan berakhir.

Juara dunia edisi 2025 itu turut mengakui penampilan di China Masters adalah untuk mencari persefahaman dengan Su Yin menjelang Sukan Asia.

“Saya cuba untuk berkomunikasi dengan baik dan mencari rentak permainan, tetapi, kami kalah. Saya akan cuba lagi dan penting untuk berfikir positif,” kata Tang Jie.

Sementara itu, Su Yin dalam nada yang lebih tenang berpendapat, gandingan pertamanya bersama Tang Jie tidaklah seteruk mana dan kesilapan yang mereka lakukan masih boleh diperbaiki.

“Kami lakukan banyak kesilapan, banyak kelamahan yang perlu diperbaiki, tetapi saya tetap yakin,” ujarnya apabila ditanya tentang persiapan ke Sukan Asia.

Dalam satu lagi perlawanan membabitkan beregu campuran Malaysia, gandingan profesional, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing membenam Chan Yin Chak-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-12, 16-21, 21-11 dalam masa 51 minit.

Pada peringkat 16 terbaik, esok, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan laluan sukar apabila dijadual menentang beregu handalan tuan rumah, Cheng Xing-Zhang Chi yang menghuni ranking No. 9 dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×