KidsRix jadi dimensi baharu pembangunan sukan kanak-kanak

KidsRix jadi dimensi baharu pembangunan sukan kanak-kanak

LEBIH 500 kanak-kanak menyertai penganjuran Larian Kidsnergy Merdeka di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha memperkasakan pembangunan sukan kanak-kanak terus diperkukuhkan menerusi pelancaran KidsRix, elemen terbaharu dalam ekosistem Kidsnergy yang diperkenalkan dengan kerjasama Olahraga Malaysia sempena penganjuran Larian Merdeka Kidsnergy di MyTOWN Shopping Centre, baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan kira-kira 500 kanak-kanak bersama ahli keluarga itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi platform memperkenalkan pendekatan baharu dalam pembangunan asas kecergasan dan kemahiran sukan pada usia muda.

KidsRix dibangunkan berasaskan tiga komponen utama iaitu larian, balingan dan lompatan yang dianggap sebagai asas kepada hampir semua jenis sukan, sekali gus memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dalam suasana yang lebih menyeronokkan, moden dan mudah diakses.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada agenda jangka panjang Kidsnergy untuk mewujudkan ekosistem pembangunan sukan kanak-kanak yang menyeluruh dengan menggabungkan aktiviti fizikal, pendidikan sukan, pengalaman pertandingan, pembentukan karakter serta pendedahan kepada pelbagai disiplin sukan.

Konsep yang diinspirasikan daripada elemen asas olahraga itu disusun mengikut kesesuaian peringkat umur dan perkembangan kanak-kanak, dengan matlamat membina tahap physical literacy yang kukuh sebelum mereka memilih bidang sukan yang ingin diceburi pada masa depan.

Menurut Kidsnergy, KidsRix tidak diwujudkan semata-mata untuk mencari kanak-kanak terpantas, terkuat atau mempunyai keupayaan lompatan terbaik.

AKSI Peserta yang menyertai Larian Kidsnergy Merdeka.

Sebaliknya, program itu dirangka bagi membantu setiap kanak-kanak membina asas fizikal yang seimbang dan menyeluruh, sekali gus menyediakan mereka untuk meneroka potensi dalam pelbagai cabang sukan.

Melalui pendekatan yang diperkenalkan, peserta bukan sahaja didedahkan kepada aktiviti berlari, membaling dan melompat, malah turut dibimbing untuk mengawal pergerakan, memahami keupayaan diri, membina keyakinan, bekerjasama dalam pasukan serta belajar menghadapi cabaran dan menetapkan sasaran peribadi.

Pengasas Bersama Kidsnergy, Wong Kang Woon berkata, pelancaran KidsRix bersama Olahraga Malaysia merupakan satu langkah signifikan dalam usaha menghubungkan pembangunan sukan akar umbi dengan ekosistem olahraga negara.

“Pendekatan ini diharapkan dapat membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja aktif, tetapi mempunyai asas fizikal yang lebih baik sebelum memilih laluan sukan masing-masing secara lebih spesifik.

“Kami mahu kanak-kanak menikmati pengalaman bergerak dan bersukan dalam persekitaran yang positif sambil membina kemahiran asas yang boleh dimanfaatkan dalam apa juga sukan yang mereka pilih pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Wong berkata, sambutan menggalakkan terhadap Larian Merdeka Kidsnergy membuktikan semakin ramai ibu bapa menyedari kepentingan aktiviti fizikal dalam proses tumbesaran anak-anak.

Menurutnya, pelancaran KidsRix turut melengkapkan perjalanan ke arah penganjuran Kidsnergy Malaysia International Games 2026 yang bakal menjadi pentas lebih besar untuk kanak-kanak merasai pengalaman pertandingan serta interaksi sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau percaya inisiatif seperti KidsRix mampu menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi muda yang lebih aktif, sihat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran dalam arena sukan pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN