KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 30-an tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii terhadap isterinya tanpa kerelaan, dua tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di daerah Marang pada 2 Disember 2024, kira-kira pukul 11 malam.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada kira-kira pukul 10 malam, 4 Disember 2024 di lokasi sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asymawi Ghazali, dalam hujahnya memohon supaya jaminan tidak diberikan kepada tertuduh.
Katanya, perkara itu wajar dipertimbang bagi menjaga dan memartabatkan kedudukan wanita terutama mangsa dalam kes sedemikian.
Katanya, jika jaminan diberikan, kejadian berkenaan dikhuatiri dipandang enteng oleh masyarakat setempat dan boleh membawa kepada ancaman secara tidak langsung terhadap mangsa yang masih berstatus isteri tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada, tidak mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 15 haribulan.
Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen. Tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab. – UTUSAN










