Tragedi bangsa Rohingya - Utusan Malaysia

Tragedi bangsa Rohingya

Pada tahun ini dianggarkan 126,000 ke 128,000 pelarian Rohingya yang didaftar. Sebahagian daripada mereka pula didaftar sebagai pendatang tanpa dokumen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada satu pagi tahun 1982, suasana negara adalah ‘kering berita.’ Tiada acara rasmi kerajaan untuk pemberita buat liputan. Tiada isu politik untuk dijadikan susulan. Maka Ketua Pemberita Utusan Malaysia ketika itu mengarahkan semua pemberita keluar ‘cari berita’.

Antara banyak-banyak kontak, saya menghubungi seorang pegawai RISEAP, meminta janji temu. RISEAP atau Regional Da’wah Council of South East Asia and the Pacific (Majlis Dakwah Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik) berpejabat di Bangunan Perkim berusaha membantu minoriti-minoriti Islam Asia Tenggara dan Pasifik.

Ketika itulah pertama kali saya dengar mengenai Rohingya. Pada masa itu umumnya, rakyat Malaysia tidak mengenal bangsa Rohingya. Seperti mana orang ramai juga tidak mengenal bangsa Bosnia, Uighur, Kazakh, Uzbek, Kirghiz, Turkmen dan Chechen. Pada masa itu maklumat tidak tersebar luas. Berita hanya diketahui melalui radio, televisyen dan surat khabar.

Apa yang tersiar pula hanyalah dari laporan agensi berita Reuters, AFP, AP dan UPI. Amat sedikit orang yang berkemampuan untuk mengembara. Lagipun tempat-tempat itu bukan tumpuan pelancong. Mereka semua di bawah pemerintahan komunis.

Rohingya adalah salah satu kaum dalam Myanmar. Tetapi pada 1982, Myanmar masih bernama Burma. Pertukaran nama berlaku pada 1989. Ia juga belum menyertai ASEAN.

Apabila saya membaca dokumen-dokumen yang ditunjukkan, saya bukan saja terkejut tetapi juga sedih dan marah kerana bangsa Rohingya diperlakukan sedemikian rupa oleh kerajaan mereka sendiri.

Terdapat banyak gambar dari udara yang menunjukkan rumah-rumah dan kampung halaman serta tanam-tanaman orang Rohingya dibakar.

Penghuni-penghuninya dibunuh dan diusir. Orang Rohingya ini menjadi pelarian di Bangladesh. Oleh kerana wartawan tidak dibenarkan masuk ke wilayah itu, tiada media menyiarkan perkara ini dan dunia tidak mengetahuinya.

RISEAP mendapat maklumat daripada aktivis-aktivis Rohingya yang berpangkalan di Bangladesh.

Pada 1982, nama rasmi Myanmar adalah Republik Sosialis Kesatuan Burma dan dipimpin oleh Jeneral Ne Win yang memerintah melalui Parti Program Sosialis Burma (BSPP).

Ne Win memerintah dari 1962 hingga 1988 dengan dasar ‘Jalan Burma ke Arah Sosialisme’, suatu ideologi yang menggabungkan ekonomi Marxis gaya Soviet, isolasi ekstrem dan nasionalisme xenofobia bercampur dengan falsafah Buddhis.

Pada 1982, kerajaan Burma memperkenalkan Undang-undang Kewarganegaraan yang melucutkan kewarganegaraan semua orang Rohingya mengakibatkan mereka tidak mempunyai negara (stateless).

Undang-undang memperkenalkan tiga lapisan kewarganegaraan: penuh, bersekutu dan naturalised. Kewarganegaraan penuh diberikan kepada warga ‘kaum-kaum nasional’ iaitu etnik yang tinggal di Burma sebelum 1823, tahun British mula menjajah Burma.

Mereka mengiktiraf lapan ‘kaum nasional’ utama merangkumi 135 etnik iaitu Bamar, Shan, Karen, Rakhine, Mon, Chin, Kachin dan Karen dan Karenni. Etnik Rohingya tidak diiktiraf.

Ini kerana kerajaan Burma mendakwa orang Rohingya tidak dapat membuktikan bahawa mereka adalah bumiputera. Mereka dituduh sebagai pendatang dari Bangladesh yang berhijrah ketika Burma di bawah British.

Antara dokumen-dokumen dari RISEAP itu, ada ditunjukkan sejarah silam bangsa Rohingya.

Pada kurun ke-4, wilayah Arakan menjadi sebuah kerajaan Hindu seperti mana banyak kerajaan di Asia Tenggara. Pusat-pusat kerajaan awal seperti Dhanyawadu dan Waithali diperintah oleh dinasti seperti Chandra.

Kedatangan Islam dan penempatan Muslim pula muncul di pesisiran Burma pada abad ke-12.

Ia kemudian disusuli dengan Kerajaan Mrauk-U dari tahun 1430 hingga 1784 yang memiliki gabungan budaya Islam dan Buddha dengan penduduknya banyak beragama Islam dan mengamalkan pentadbiran Islam serta pengaruh dari kesultanan di Benggala.

Zaman keemasan Rohingya ini berakhir apabila Raja Burma, Badawpaya menakluk Arakan pada 1784. Keganasan akibat penaklukan itu menyebabkan banyak penduduk lari ke Benggala yang dikuasai British.

British menguasai Burma dari tahun 1824 hingga 1948.. Ia menempatkan pentadbiran Burma di bawah India. Semasa pentadbirannya itu, British membawa masuk pekerja-pekerja dari India ke Burma. Mereka bercampur-baur dengan penduduk tempatan.

Pada 1931, British mendaftar semua keluarga Islam di Arakan, tidak kira sama ada mereka bumiputera atau pendatang sebagai orang asing.

Akibatnya apabila Burma merdeka, kerajaan mereka menganggap semua orang Rohingya adalah kaum pendatang yang tidak layak memperoleh kewarganegaraan dan perlu dihalau keluar sedangkan sebahagian besar daripada mereka adalah bumiputera.

Maklumat yang saya terima dari RISEAP itu banyak dan ia boleh dijadikan rencana bersiri. Apabila saya kembali ke pejabat, saya pun tulis satu berita yang panjang.

Tidak lama kemudian, Ketua Pengarang memanggil saya. Beliau memberitahu, berita itu tidak boleh disiarkan atas sebab Malaysia mempunyai hubungan strategik dengan Burma. Menurutnya, Burma bekerjasama dengan Malaysia melawan komunis.

Pada masa itu Parti Komunis Malaya (PKM) masih berpangkalan di Thailand Selatan. Perjanjian Damai Hatyai antara PKM, kerajaan Thailand dan Malaysia hanya termeterai pada 2 Disember 1989.

Sebelum itu, pada 8 Ogos 1988, Demonstrasi besar-besaran pelajar berlangsung di Rangoon (kini Yangon). Ini diikuti dengan pengunduran Ne Win dan penamatan program sosialis. Pihak tentera pun merampas kuasa.

Tetapi nasib Rohingya bertambah buruk. Pada Ogos 2016, keganasan besar-besaran berlaku di negeri Rakhine yang memaksa 700,000 orang Rohingya meninggalkan tanah air mereka untuk menyeberang ke Bangladesh dan juga lari ke Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Pada tahun ini dianggarkan 126,000 ke 128,000 pelarian Rohingya yang didaftar. Sebahagian daripada mereka pula didaftar sebagai pendatang tanpa dokumen. Ini bererti bilangan orang Rohingya yang kian beranak-pinak adalah lebih tinggi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN