90 peratus penduduk maut 'ditelan' lumpur, bandar seperti tanah kubur

90 peratus penduduk maut ‘ditelan’ lumpur, bandar seperti tanah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Mangsa banjir di Nepal dipindahkan menggunakan helikopter ke tempat selamat semalam, ketika operasi menyelamat diteruskan di kawasan yang musnah akibat bencana itu.

Sebahagian mangsa dipindahkan menggunakan pengusung, manakala yang lain dipapah ke helikopter. Ada juga yang berjalan sendiri dengan wajah masih terkejut ketika helikopter mendarat setiap beberapa minit di padang bola sepak dalam kawasan penempatan tentera di bandar berkenaan, menyebabkan debu berterbangan.

Antara mangsa yang diselamatkan ialah ejen kastam, Omkar Joshi, yang terperangkap semalaman di atas bukit di bandar sempadan Timure sebelum berjaya diselamatkan.

“Segalanya sudah musnah,” kata Joshi, 35, kepada AFP dalam keadaan sebak.

Katanya, bandar yang ditinggalkannya itu hampir lenyap ditenggelami arus deras air, lumpur dan serpihan.

“90 peratus penduduk di bandar itu dipercayai maut selepas ditenggelami timbunan lumpur. Ia kini seperti tanah perkuburan besar. Yang tinggal hanyalah pasir dan batu kerikil, dibasahi merah oleh darah manusia,” katanya.

Katanya, ratusan penduduk terselamat selepas mereka menyelamatkan diri dengan mendaki cerun berhampiran ketika arus banjir deras ‘mengganas’ di lembah.

“Hujan turun sepanjang malam, tetapi kami terus bertahan sehingga helikopter datang menyelamatkan kami,” katanya.

Rabu lalu, gelombang air dan lumpur setinggi tsunami melanda kampung serta pekan di sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Trishuli di Nepal.

Polis Nepal setakat ini menemukan 359 mayat, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Ramai yang masih hilang dipercayai pelancong asing yang terperangkap dalam bencana itu, yang menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran deras serpihan ais.

Gambar yang dikongsikan seorang anggota penyelamat menunjukkan seorang mangsa terperangkap di bawah pokok yang tumbang selepas tercabut dari akarnya.

Sabir Miyan, penduduk bandar berkenaan, berkata amaran mengenai arus banjir yang deras dari kawasan pergunungan membantu menyelamatkan banyak nyawa.

“Ramai antara kami berjaya menyelamatkan diri, tetapi segala-galanya yang lain musnah. Kini yang tinggal hanyalah runtuhan,” katanya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN