NARATHIWAT (THAILAND): Insiden letupan bom yang menggegarkan tiga wilayah di Selatan Thailand sejak Sabtu lalu menyaksikan tempahan hotel khususnya daripada pelancong Malaysia menyusut sehingga 20 peratus.
Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (Tahta), Aida Oujeh berkata, tempahan hotel itu membabitkan di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
“Bagaimanapun, tempahan wilayah-wilayah lain, tiada penurunan tempahan hotel direkodkan setakat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pengendali perkhidmatan pelancongan, Wan Azwal Mohamad mengakui kebanyakan pelanggan memilih untuk menangguhkan sementara perjalanan ke tiga wilayah bergolak itu.
Katanya, bagaimanapun pelanggan mahu melambung semula perjalanan ke Pattani pada bulan hadapan selepas keadaan menjadi pulih.
“Harga murah dan makanan enak serta lazat menjadi pilihan utama kenapa saya suka melancong ke Thailand,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Thailand susulan 51 kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di tiga daerah di Selatan Thailand.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, nasihat berkenaan perlu diberi perhatian serius berikutan keadaan keselamatan di Selatan Thailand yang masih tidak menentu dan insiden keganasan dilaporkan berlaku hampir setiap hari.
Katanya, pendirian itu kekal seperti sebelum ini berdasarkan kenyataan Kementerian Luar. – UTUSAN











