PETALING JAYA: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung dakwaan rasuah membabitkan urusan pengambilan pekerja asing ketika menerajui kementerian.
Perkara itu disahkan Saravanan dalam kenyataan semalam.
Beliau difahamkan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antara lain memperuntukkan kesalahan meminta atau menerima suapan berkaitan sesuatu urusan atau transaksi.
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai rasuah jika sabit kesalahan.
Menurut jemputan media dikeluarkan SPRM, pihaknya telah memperoleh izin untuk meneruskan pendakwaan terhadap individu terbabit dengan prosiding dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi.
Kes berkenaan dipercayai berkait dengan siasatan SPRM terhadap dakwaan wujud pembayaran sejumlah wang kepada pegawai kementerian bagi memastikan kontraktor tertentu mengekalkan kontrak pengambilan pekerja asing yang diperoleh ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
Siasatan turut melibatkan aspek jejak kewangan bagi mengesan aliran wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan berkenaan.
Pada 2023, tular dengan dakwaan seorang bekas menteri dan bekas pegawainya di kementerian terbabit dipanggil untuk membantu siasatan SPRM.
Bagaimanapun, Saravanan menafikan dakwaan berkenaan dan berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai penahanan yang dikaitkan dengan siasatan tersebut.
Siasatan SPRM dilaporkan tertumpu kepada dakwaan jutaan ringgit dibayar kepada pegawai kementerian bagi memastikan kontraktor tertentu terus memperoleh atau mengekalkan kontrak berkaitan pengambilan pekerja asing.
Kes berkenaan pernah menjadi perhatian susulan dakwaan wujud pembayaran kepada pihak tertentu bagi mempengaruhi urusan tersebut.
Semalam, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta kepada SPRM.-UTUSAN











