Untung bersih Maybank RM2.69 juta pada suku kedua - Utusan Malaysia

Untung bersih Maybank RM2.69 juta pada suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Malayan Banking Berhad (Maybank) meningkat 2.4 peratus kepada RM2.69 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2026, berbanding RM2.63 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 sebanyak RM5.17 bilion, sedikit rendah berbanding RM5.21 bilion pada tempoh masa tahun sebelum.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan pula meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada RM3.64 bilion, disokong pengurusan kos yang berdisiplin, peningkatan pendapatan fi teras serta penurunan ketara dalam peruntukan kemerosotan nilai bersih.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa berkata, prestasi suku kedua Maybank mencerminkan asas kewangan kumpulan yang kukuh serta pendekatan berhemat dalam mengurus kunci kira-kira dan risiko.

“Modal dan kedudukan kecairan kami yang kukuh menyediakan asas yang mantap untuk mengharungi perubahan keadaan pasaran dengan yakin.

“Ia selain mengekalkan kapasiti kewangan bagi menyokong pelanggan dan perniagaan kami.

“Kami kekal komited terhadap pengurusan berhemat dan pertumbuhan bertanggungjawab, mewujudkan nilai berterusan untuk pemegang saham sambil terus memajukan agenda kemampanan serta memberikan impak positif kepada komuniti yang kami berkhidmat,” katanya dalam kenyataan.

Seiring prestasi itu, Maybank mengisytiharkan dividen interim lebih tinggi sebanyak 31 sen sesaham, termasuk Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) sebanyak lima sen.

Ia dengan jumlah pembayaran RM3.75 bilion atau nisbah pembayaran sebanyak 72.5 peratus daripada keuntungan bersih separuh pertama 2026, berbanding dividen interim sebanyak 30 sen sesaham bagi tempoh masa sama tahun sebelum.

Sementara itu, pendapatan operasi bersih mencapai RM7.51 bilion bagi suku berkenaan, didorong peningkatan 1.9 peratus dalam pendapatan bersih berasaskan dana kepada RM5.03 bilion.

Margin faedah bersih (NIM) turut meningkat 10 mata asas tahun ke tahun kepada 2.10 peratus.

Pendapatan fi berkaitan perbankan pelaburan (IB) pula melonjak 58.4 peratus, manakala pendapatan fi pengurusan kekayaan meningkat 61.5 peratus dan fi berkaitan perbankan berkembang 2.6 peratus.

Bagi separuh pertama, Maybank mengekalkan NIM yang kukuh pada 2.12 peratus.

Pendapatan fi teras secara keseluruhan meningkat 12.1 peratus, disokong pertumbuhan 48.4 peratus dalam pendapatan fi pengurusan kekayaan susulan peningkatan pendapatan daripada pelaburan dan bancassurance.

Jumlah perbelanjaan overhed bagi tempoh enam bulan itu pula menurun 3.9 peratus tahun ke tahun.

Pinjaman kasar kumpulan meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM695.9 bilion dengan momentum bertambah pada suku kedua apabila meningkat 1.7 peratus berbanding suku sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×