KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Isa Khan, menafikan hantaran berunsur sedih di media sosial bertujuan memberi bayangan berhubung status rumah tangganya bersama isteri, Risteena Munim.
Isa atau Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 33, berkata, perkongsiannya di aplikasi Tiktok dan Threads itu hanyalah sekadar luahan tanpa niat untuk mengaibkan atau merujuk kepada mana-mana pihak.
“Tidak ada, saya memang suka meluahkan perasaan sedih di media sosial. Perkongsian itu tidak memberi maksud apa-apa pun.
“Saya tidak mengaibkan sesiapa pun sebenarnya, tapi penerimaan orang berbeza-beza. Kalau kita muat naik perkara baik sekalipun, orang tetap fikir perkara sebaliknya. Saya tidak boleh mengubah cara orang berfikir, cuma saya tidak mengaibkan mana-mana pihak dan sekadar meluahkan perasaan sendiri,” katanya.
Isa berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Perkenalkan Kumpulan K4lam dan Tayangan Muzik Video Musa di Aurum Theatre, The Gardens Mall, hari ini.
Mengulas mengenai status perkahwinannya bersama Risteena, Isa memilih untuk mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.
“Mengenai perkara itu, tiada komen daripada saya. Saya memang tidak boleh memberikan sebarang komen.
“Tiada apa-apa yang mahu saya kongsikan dan saya bukan mendiamkan diri. Cumanya bagi saya, hal peribadi biarlah kekal sebagai peribadi. Ada perkara yang boleh dikongsi kepada umum dan ada hal yang perlu disimpan untuk diri sendiri,” katanya.
Sebelum ini, timbul beberapa dakwaan bahawa pasangan itu sudah bercerai, namun dinafikan oleh Risteena dalam sebuah kenyataan.
Untuk rekod, Isa dan Risteena bertunang di Bali pada November 2019 dan mendirikan rumah tangga pada Mac 2021.
Mengenai kumpulan K4lam, kumpulan ini dibentuk secara berperingkat bermula Februari 2026, dianggotai oleh gabungan empat lelaki yang dipercayai Pak Nil mampu mengetengahkan konsep terutama eksperimen gabungan Al dan manusia.










