PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan mengetengahkan inovasi pembajaan dihasilkan anak tempatan bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 nanti.
Selain itu, Nafas juga akan menganjurkan sesi Pocket Talk dan Bicara Inspirasi sebagai medium perkongsian ilmu terutama dalam kalangan petani sebagai usaha membantu meningkatkan sektor pertanian negara.
Peranan Nafas dalam pembangunan industri padi negara turut menjadi antara fokus perkongsian bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai usaha organisasi berkenaan dalam memperkukuh sektor agromakanan negara.
.
“Penganjuran sesi berkenaan dijangka memberi ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan secara langsung berkaitan amalan pertanian yang lebih berkesan, khususnya dalam aspek pengurusan nutrien tanaman dan kesuburan tanah.
“Inisiatif tersebut turut mencerminkan usaha Nafas untuk memperluas perkongsian ilmu serta memperkenalkan penyelesaian inovatif yang dapat menyokong peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor pertanian negara,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan hari ini
Dalam pada itu, penyertaan Nafas dalam MAHA 2026 menggabungkan elemen produk, promosi, aktiviti interaktif, perkongsian ilmu, teknologi serta kerjasama strategik bagi memberikan pengalaman yang lebih dekat dan menyeluruh kepada pengunjung. – UTUSAN










