KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Zizan Razak menyarankan pengacara baharu supaya tidak malu menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman sekiranya mahu bertahan lama dalam industri.
Menurut Zizan, perbandingan antara pengacara senior dan junior tidak seharusnya menjadi isu kerana kemampuan seseorang bukan ditentukan berdasarkan tempoh berada dalam industri, sebaliknya pengalaman serta kemahiran yang dimiliki.
“Bagi saya, perkara ini sangat subjektif. Ia bukan tentang junior atau senior, tetapi lebih kepada pengalaman dan kemahiran dalam mengacara. Saya sendiri pun pernah melakukan kesilapan.
“Saya bukan terus pandai dan hari ini pun kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Saya tidak mahu bercakap besar.
“Kalau kita rasa masih baharu, belajarlah. Kalau kita rasa masih mentah, bertanyalah. Jangan buat-buat pandai atau merasakan kita sudah cukup bagus.
“Kepada pengacara baharu yang mendapat peluang dan rezeki untuk duduk bersama pengacara berpengalaman, belajarlah. Yang senior pula jangan kedekut ilmu. Didik dan beri galakan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di sidang media Borneo Rising, pada Selasa.
Mengulas lanjut, pelakon filem Polis Evo itu berkata, sikap merendah diri dan kesediaan menerima teguran penting terutama bagi mereka yang masih mencari pengalaman dalam industri.
“Saya cakap secara umum, bukan mengenai pengacara sahaja, tetapi mereka yang mahu masuk ke dalam industri atau mahu belajar.
“Maksud ‘bodoh’ adalah apabila ada perkara yang kita tidak tahu, tetapi kita masih boleh belajar. Apa pula maksud ‘sombong’? Apabila seseorang itu sombong, kita susah hendak mengajarnya.
“Jadi, jangan jadi ‘bodoh sombong’. Buang sikap itu. Tidak ada sebab untuk kita terus tidak tahu dan tidak ada sebab untuk kita sombong.
“Kalau kita sedar masih belum cukup berilmu atau belum cukup pandai, rendahkan diri. Sit down, be humble. Dengar apa yang senior mahu sampaikan dan belajarlah daripada mereka,” jelasnya.
Pada masa sama, Zizan tidak bersetuju sekiranya pengacara muda terus dihukum hanya kerana melakukan kesilapan ketika masih dalam proses membina pengalaman.
“Saya tidak boleh terus menghentam pengacara baharu kerana saya sendiri bermula daripada kosong. Saya bukan terus menjadi Zizan Razak yang orang kenal hari ini.
“Kalau orang anggap saya pandai sekarang, saya tidak terus pandai sejak hari pertama. Jadi, berilah mereka peluang. Didik dan latih mereka. Dalam masa sama, mereka sendiri kena belajar dan bertanya kepada orang lain.
“Kalau orang menegur di Threads, tengok semula rakaman. Kalau selepas tengok kita sedar memang melakukan kesilapan, ambil perhatian. Minggu berikutnya, perbaiki dan terus perbaiki,” kongsinya.
Zizan berkata demikian bagi mengulas isu melibatkan seorang pengacara baharu yang dikecam kerana cara pengacaraannya yang tidak setara dengan tenaga hos gandingannya ketika mengendalikan sebuah program nyanyian.











