PBB gesa dunia kembali tangani nasib Rohingya - Utusan Malaysia

PBB gesa dunia kembali tangani nasib Rohingya

PELARIAN Rohingya membeli buah pinang di sebuah pasar di kem pelarian Kutupalong, Bangladesh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan perhatian dan tindakan bagi menangani nasib etnik Rohingya yang terus berdepan konflik, perpindahan dan kekurangan perlindungan.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata hampir sedekad selepas keganasan pada 2017, keadaan Rohingya di Myanmar dan Bangladesh dan negara sekitar semakin membimbangkan.

“Rakyat Rohingya di Myanmar, Bangladesh dan seluruh rantau ini berdepan ketidakamanan semakin meruncing, ruang perlindungan semakin terhad serta peluang mendapatkan penyelesaian berkekalan yang semakin tipis,” katanya dalam satu kenya­taan pada Isnin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, keadaan itu tu­rut diburukkan oleh pengurangan pembiayaan yang menjejaskan bantuan kemanusiaan penting.

Di Myanmar, Rohingya dan masyarakat lain terus terperangkap dalam konflik serta perpindahan, selain berdepan pelanggaran hak asasi manusia serius selain pelbagai bentuk pencabulan, termasuk oleh tentera Myan­mar termasuk Tentera Arakan.

“Ratusan orang awam terus terbunuh setiap tahun, manakala pergerakan dan akses bantuan kemanusiaan kekal terhad.

“Rohingya juga terdedah ke­pada pengambilan secara pak­sa, penahanan sewenang-wenangnya dan keganasan seksual,” katanya.

Guterres turut mengulangi gesaannya supaya orang awam dilindungi selaras dengan undang-undang antarabangsa, ter­masuk undang-undang hak asasi manusia, kemanusiaan dan pelarian antarabangsa.

Ketua PBB itu turut menghargai Bangladesh dan negara lain yang menjadi tuan rumah kepada pelarian dari Myanmar, selain menggesa semua negara memberikan perlindungan kepada mereka yang melarikan diri daripada krisis berkenaan.

“Beliau bimbang dengan peningkatan jumlah Rohingya yang terkorban di laut dan menggesa kerjasama serantau dalam operasi mencari dan menyelamat, serta tindakan membanteras pemerdagangan manusia,” kata­nya.– ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN