SETELAH hampir tujuh dekad laungan keramat “Merdeka!” bergema, kita wajar berhenti sejenak untuk merenung satu persoalan penting: adakah kita benar-benar memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang diwariskan generasi terdahulu?
Generasi sebelum merdeka hidup dalam suasana penjajahan politik, namun tetap mempertahankan identiti, budaya dan maruah sendiri.
Mereka tidak mudah menganggap segala yang datang dari luar lebih baik. Sebaliknya, perjuangan membebaskan tanah air turut disertai usaha membina keyakinan terhadap kemampuan bangsa sendiri.
Hari ini, kita bebas menentukan masa depan negara. Kita mempunyai kedaulatan, sistem pemerintahan sendiri dan ruang luas untuk membentuk kehidupan berdasarkan acuan sendiri. Namun, muncul cabaran yang lebih halus dan sukar dikesan, iaitu penjajahan pemikiran.
Apabila sesuatu yang datang dari luar sentiasa dianggap lebih unggul, manakala nilai, bahasa dan identiti sendiri dinilai lebih rendah, kita sebenarnya sedang berdepan krisis keyakinan terhadap jati diri.
Barangkali inilah paradoks kemerdekaan yang perlu direnungi. Kita berjaya membebaskan tanah air daripada penjajahan fizikal tetapi usaha membebaskan minda daripada mentaliti terjajah masih belum selesai.
Kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas mentadbir negara, tetapi turut berani menghargai siapa diri kita sebagai sebuah bangsa.
HEGEMONI BAHASA
Antara gambaran paling jelas tentang persoalan ini dapat dilihat melalui cara masyarakat menilai bahasa. Dalam sosiolinguistik, keadaan apabila sesuatu bahasa begitu dominan sehingga dikaitkan dengan intelektualisme, status sosial dan kewibawaan dikenali sebagai hegemoni linguistik.
Dalam konteks Malaysia, perkara ini tidak bermaksud bahasa Inggeris mengatasi kedudukan Bahasa Melayu dari sudut perundangan. Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Namun, dalam sesetengah ruang sosial, penguasaan bahasa Inggeris kadangkala dianggap sebagai ukuran kecerdasan, profesionalisme dan kejayaan seseorang.
Pada masa sama, bahasa Melayu tidak semestinya menerima pengiktirafan sosial yang setara. Persepsi sebegini perlu diperbetulkan kerana penguasaan bahasa asing tidak sepatutnya datang bersama rasa rendah diri terhadap bahasa sendiri.
Sudah tentu bahasa Inggeris penting. Dalam dunia yang saling berhubung, penguasaannya membuka akses kepada ilmu, penyelidikan, perdagangan, teknologi dan jaringan antarabangsa. Penguasaan pelbagai bahasa juga merupakan kelebihan yang wajar dibanggakan.
Namun, menjadi bangsa yang maju tidak bermaksud perlu meninggalkan identiti sendiri. Kita boleh menguasai bahasa dunia tanpa merendahkan bahasa kebangsaan. Malah, kekuatan sesebuah negara terletak pada keupayaannya bergerak ke pentas global tanpa kehilangan akar budayanya.
BAHASA MILIK BERSAMA
Bahasa Melayu bukan milik satu kaum semata-mata. Kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar alat komunikasi.
Istilah ‘bahasa kebangsaan’ menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar etnik. Masyarakat bebas memelihara bahasa ibunda masing-masing, namun pada masa sama mempunyai satu bahasa yang menjadi titik pertemuan sebagai warga sebuah negara.
Dalam masyarakat majmuk, bahasa bersama penting untuk merapatkan jurang, membina persefahaman dan mengukuhkan rasa kebersamaan. Justeru, usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan tanggungjawab satu kaum sahaja, sebaliknya amanah seluruh rakyat yang berkongsi tanah air ini.
Memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan juga tidak bermaksud menolak bahasa lain. Sebaliknya, kita sedang memperkukuh salah satu asas yang menyatukan masyarakat yang berbeza latar belakang.
Tanpa titik pertemuan yang dikongsi bersama, pembinaan identiti negara bangsa akan menjadi lebih sukar.
SEMANGAT KEBERSAMAAN
Dalam hal ini, pemikiran Ibn Khaldun mengenai asabiyyah dalam karya agungnya, al-Muqaddimah, masih mempunyai kaitan dengan kehidupan masyarakat hari ini.
Asabiyyah sering difahami secara sempit sebagai semangat perkauman. Namun, konsep tersebut lebih luas, merangkumi solidariti, kesetiaan dan rasa kebersamaan yang menjadi kekuatan dalaman sesebuah masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, semangat ini boleh diterjemahkan melalui kesediaan rakyat berkongsi nilai dan simbol kebangsaan tanpa menghapuskan kepelbagaian yang menjadi identiti negara.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan antara simbol yang boleh menyatukan masyarakat. Apabila seluruh rakyat menerima dan menghormatinya sebagai milik bersama, terbentuklah asas solidariti sosial yang penting untuk memastikan negara terus kukuh.
Kemajuan material semata-mata tidak mencukupi untuk membina sebuah negara bangsa. Pencakar langit, lebuh raya, teknologi canggih dan pertumbuhan ekonomi memang penting, tetapi semua itu belum tentu melahirkan masyarakat yang mempunyai rasa pemilikan terhadap negaranya.
Sebuah negara akan lebih kukuh apabila rakyatnya berkongsi rasa bangga terhadap tanah air, menghormati lambang kebangsaan dan mengutamakan kepentingan bersama tanpa terperangkap dalam perbezaan kaum, bahasa atau budaya.
MEMBINA KEYAKINAN
Setelah hampir tujuh dekad merdeka, cabaran kita bukan lagi mempertahankan sempadan daripada kuasa penjajah. Cabaran yang lebih besar ialah mempertahankan keyakinan terhadap identiti dan kemampuan sendiri.
Sempena Bulan Kebangsaan, makna kemerdekaan perlu dihayati melampaui upacara dan laungan patriotik. Kita boleh fasih berbahasa Inggeris, menguasai bahasa Mandarin, Arab, Jepun atau bahasa lain, malah bersaing di peringkat antarabangsa tanpa perlu berasa rendah diri terhadap Bahasa Melayu.
Kita tidak perlu memilih antara kemajuan dengan jati diri. Kedua-duanya boleh bergerak seiring.
Kemerdekaan bukan sekadar mewarisi sebuah negara yang berdaulat tetapi menerima amanah untuk memastikan rakyatnya terus mempunyai titik persamaan sebagai satu bangsa. Dalam usaha itu, bahasa kebangsaan bukanlah penghalang kepada kemajuan, sebaliknya jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum.
Inilah semangat kebersamaan yang selari dengan gagasan asabiyyah Ibn Khaldun, iaitu kekuatan yang memungkinkan sesebuah masyarakat membina, mempertahankan dan mengembangkan tamadunnya.
MUHAMMAD Irfan Abdul Malek ialah Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM).











