Kecerdasan buatan bukan lagi kelebihan syarikat besar

Kecerdasan buatan bukan lagi kelebihan syarikat besar

TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) boleh membantu perniagaan menjadi lebih cekap, pantas dan tepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN dua peniaga menjual produk yang hampir sama. Seorang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memahami pelanggan, meramal permintaan, menghasilkan kandungan pemasaran dan mengautomasikan urusan pelanggan. Seorang lagi masih bergantung kepada Excel, WhatsApp serta tekaan berdasarkan pengalaman.

Kedua-duanya mungkin bermula dengan modal hampir sama. Namun, dalam beberapa tahun, jurang antara mereka mungkin bukan lagi pada modal tetapi pada keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.

Persoalan ini semakin penting ketika Malaysia rancak membangunkan ekonomi berasaskan AI. Perbincangan mengenainya sering tertumpu kepada syarikat teknologi gergasi, pusat data, pelaburan bernilai berbilion ringgit dan pekerjaan yang bakal berubah. Namun, AI tidak seharusnya menjadi kelebihan eksklusif syarikat besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelompok yang lebih kecil, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), juga perlu diberi perhatian kerana sektor ini menjadi tunjang ekosistem perniagaan negara.

Malaysia mempunyai lebih satu juta PMKS, dengan perusahaan mikro membentuk sekitar 70 peratus daripadanya. Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan hampir separuh guna tenaga negara.

Syarikat sederhana mungkin sudah mempunyai sistem pengurusan, tenaga kerja khusus, data operasi dan peruntukan teknologi. Bagi peniaga mikro pula, pemilik sendiri mungkin mengurus stok, melayan pelanggan, mengendalikan kewangan dan memikirkan pemasaran.

Di sinilah pentingnya membezakan antara digitalisasi dengan kesediaan menggunakan AI. Kajian Institut Penyelidikan Khazanah menunjukkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana masih banyak tertumpu pada tahap asas. Penggunaan pengkomputeran awan dan analitik data, misalnya, belum menyeluruh, manakala teknologi lebih kompleks dalam pengurusan inventori masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Mempunyai media sosial tidak bermakna perniagaan sudah membuat keputusan berasaskan data. Menggunakan pembayaran digital pula tidak semestinya menjadikan operasi automatik. Begitu juga akses kepada aplikasi AI tidak bermakna sesebuah perniagaan sudah bersedia menggunakannya secara strategik.

Kajian Amazon Web Services (AWS) bersama Strand Partners pada 2025 mendapati 27 peratus perniagaan di Malaysia menggunakan AI, meningkat daripada 20 peratus pada 2024. Namun, sebahagian besar penggunaannya masih berada pada tahap asas, sementara kekurangan kemahiran digital menjadi antara halangan utama.

AI yang sekadar menghasilkan poster, menulis kapsyen atau menjawab e-mel memang menjimatkan masa. Nilainya menjadi lebih besar apabila digunakan untuk meramal permintaan, menganalisis pelanggan, mengoptimumkan inventori, mengenal pasti produk paling menguntungkan dan mengurangkan pembaziran.

Pada masa sama, penggunaan AI tidak menjamin peningkatan produktiviti secara automatik. Kajian EY 2025 mengenai Penstrukturan Semula Dunia Pekerjaan mendapati 81 peratus pekerja Malaysia yang menggunakan AI generatif melaporkan penjimatan masa tetapi 68 peratus menyatakan beban kerja mereka meningkat. Hanya 12 peratus menerima latihan AI yang mencukupi.

Keadaan ini membuktikan penggunaan teknologi tanpa peningkatan kemahiran dan perubahan cara kerja mungkin tidak menghasilkan manfaat optimum. Jika AI sekadar mempercepatkan proses lama yang tidak cekap, teknologi itu hanya memacu kelemahan sedia ada dengan lebih pantas.

Di Johor, perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut meningkatkan tuntutan terhadap produktiviti, kecekapan dan daya saing perniagaan tempatan.

Peniaga kecil tidak perlu membina model AI sendiri untuk bersaing. Mereka boleh bermula dengan masalah mudah tetapi nyata seperti mengurangkan lebihan stok, mempercepatkan respons pelanggan, meramal permintaan, mengenal pasti produk paling menguntungkan atau mengawal kos operasi.

Kerajaan, persatuan perniagaan dan institusi pendidikan pula perlu menyediakan latihan praktikal, bimbingan memilih teknologi yang sesuai serta kaedah mengukur keberkesanannya.

Malaysia turut mempunyai Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang meletakkan penggunaan AI merentas sektor, termasuk PMKS, sebagai sebahagian daripada agenda negara.

Cabaran sebenar bukan sekadar menyediakan dasar atau geran tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada peniaga paling kecil. Pemilik kedai makan, bengkel, peruncit atau perniagaan keluarga tidak perlu menjadi pakar AI. Mereka hanya perlu memahami bagaimana teknologi itu boleh membantu perniagaan menjadi lebih cekap, pantas dan tepat.

Kejayaan AI juga tidak wajar diukur hanya melalui jumlah pusat data atau nilai pelaburan yang diluluskan. Ukuran lebih bermakna ialah sejauh mana teknologi tersebut membantu perniagaan kecil meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, memahami pelanggan dan kekal berdaya saing. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini