SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan Sukan Malaysia (Sukma) XXII 2026 Selangor yang baru melabuhkan tirainya malam tadi menjadi wadah perpaduan kaum dan keharmonian rakyat Malaysia selain memupuk semangat kesukanan.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataannya berkata, baginda bertitah, kejayaan dalam sukan bukan sekadar diukur melalui pingat dan kejuaraan, tetapi turut terpancar melalui semangat kebersamaan yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Kejohanan sukan seperti Sukma diharap terus menjadi antara wadah terpenting dalam memupuk semangat kesukanan, mempererat persaudaraan serta memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya di sini hari ini.
Malam tadi, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melafazkan perasmian penutupan Sukma yang dianjurkan di Aneka Walk, di sini.
Dalam majlis tersebut, kontinjen Selangor diumum sebagai pemenang keseluruhan temasya kali ini apabila berjaya meraih 101 pingat emas yang melepasi sasaran 80 pingat selain 73 perak dan 71 gangsa.
Tambah kenyataan itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita dan terharu menyaksikan kesungguhan, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para atlet Selangor sehingga berjaya mendominasi pelbagai acara dan mengumpul 245 butir pingat secara keseluruhan.
Baginda menzahirkan rasa amat gembira atas pencapaian luar biasa Kontinjen Selangor dan lebih membanggakan, jumlah kutipan pingat emas itu tersebut merupakan yang tertinggi dalam sejarah penganjuran Sukma sejak tahun 1986.
“Kepada atlet-atlet Selangor yang berjaya memenangi pingat emas, tahniah Beta ucapkan.
“Kepada pemenang pingat perak dan gangsa, jangan sesekali berputus asa. Teruskan berusaha dan tingkatkan prestasi agar mampu tampil lebih cemerlang pada masa hadapan, sekali gus mengharumkan nama Selangor dalam arena sukan di peringkat negara mahupun antarabangsa,” titah baginda. – UTUSAN











