IPOH: Polis menahan lima lelaki tempatan dan merampas 196 kilogram (kg) daun ketum serta 11.61 liter air ketum dalam dua serbuan berasingan di Kerian dan Hilir Perak, semalam dan hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 10.30 malam semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kerian menyerbu sebuah rumah di Kampung Nelayan, Tanjung Piandang sebelum menahan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 42 tahun.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan sebotol plastik lutsinar mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 0.6 liter, manakala pemeriksaan lanjut di bahagian dapur menemukan 22 bungkusan plastik mengandungi cecair sama dengan anggaran keseluruhan 11.01 liter.
“Semakan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam kes berasingan kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi, sepasukan anggota BSJND Hilir Perak menjalankan pemeriksaan di belakang sebuah rumah di Jalan Chenderong Balai.
“Hasil pemeriksaan menemukan 22 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 196 kilogram bernilai kira-kira RM2,940,” katanya.
Katanya, dua lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan dan semakan awal mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod lampau.
Beliau berkata, rampasan daun dan air ketum berkenaan dipercayai untuk tujuan pengedaran, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran bahan berkenaan.
“Polis Perak akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berhampiran,” katanya.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN











