Akibat sebotol ketum, dua beradik dikejar polis

Akibat sebotol ketum, dua beradik dikejar polis hampir sejam sebelum ditahan

Ketum
TANGKAP layar menunjukkan anggota peronda polis mengejar dua beradik menaiki Proton Wira yang cuba melarikan diri daripada diperiksa di Shah Alam, Selangor, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Akibat sebotol air ketum yang disorok di bawah tempat duduk sebelah pemandu, dua beradik panik dan cuba melarikan diri daripada diperiksa polis ketika berada dekat Pusat Komersial, Seksyen 7, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal selepas kereta Proton Wira berwarna biru dinaiki kedua-dua lelaki berusia 18 dan 24 tahun itu dipintas dekat Seksyen 9, berhadapan pintu pagar Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor selepas hampir sejam dikejar anggota peronda.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, sebelum kejadian, kereta dinaiki kedua-dua suspek itu didakwa berada dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang membuat rondaan kira-kira pukul 1.30 pagi di Seksyen 7.

Menurutnya, anggota peronda kemudian membunyikan siren dan menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan mereka berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun, pemandu berusia 24 tahun itu bertindak memecut laju secara melulu bagi melarikan diri. Akibat tindakan tersebut menyebabkan berlaku aksi berkejaran sejauh kira-kira 90 kilometer di sekitar bandar raya ini.

“Sebanyak enam buah kereta peronda lain diarahakn bagi menahan pemandu tersebut. Kira-kira 45 minit mengejar, polis berjaya memintas Proton Wira berkenaan dan menahan dua suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut polis menemukan sebotol cecair berwarna hijau disyaki air ketum di bawah tempat duduk penumpang sebelah kiri.

“Semakan lanjut, pemandu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah sementara seorang lagi suspek tiada rekod.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000,” ujarnya.

Katanya lagi, kes turut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Permohonan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek akan diMohon di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini pada pukul 10 pagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN