BESUT: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memproses dan mengedar air ketum yang bernilai RM1,850 di Jalan Seberang Kastam, Kampung Pengkalan Nyireh di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata suspek berusia 42 tahun ditahan di kawasan semak di belakang sebuah rumah kira-kira pukul 12. 45 tengah hari.
“Susulan itu kita telah merampas 50 plastik yang disyaki mengandungi air ketum serta dua plastik lain yang mengandungi 88 bungkusan plastik yang mempunyai daun hijau yang dipercayai daun ketum dianggarkan seberat 20 kilogram.
“Selain itu, turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan untuk merebus ketum terbabit dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1, 850,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah.
“Suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Sekyen 30(3) Akta Racun 1952.
Tambahnya, hasil penangkapan itu juga telah berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran air ketum di sekitar daerah ini. – UTUSAN










