GEORGE TOWN: Pelaksanaan projek tambak laut berhampiran Tanjung Asam, Gertak Sanggul di sini, didakwa berpotensi mengubah pergerakan arus laut sehingga menyebabkan hakisan pantai dan pencemaran semakin ketara di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri dan agensi berkaitan digesa menjalankan siasatan serta kajian teknikal bagi mengenal pasti punca sebenar masalah yang berlaku.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, antara kemungkinan yang perlu disiasat ialah kaitan masalah tersebut dengan pelaksanaan projek tambak laut berhampiran yang mungkin menghalang pergerakan arus.
“CAP berpendapat, kemungkinan kejadian tersebut disebabkan pelaksanaan projek tambak laut berhampiran yang menghalang arus, menyebabkan air laut berpatah balik dan membadai pantai Tanjung Asam.
“Bagaimanapun, perkara ini perlu disahkan melalui kajian dan siasatan teknikal oleh pihak berkuasa,” katanya.
Mohideen bimbang sekiranya hakisan itu berpunca daripada projek tambak laut, kesannya terhadap alam sekitar boleh menjadi lebih serius pada masa akan datang sekiranya langkah pembetulan tidak diambil segera.
Justeru, kerajaan negeri juga perlu mendedahkan kepada umum hasil siasatan dan kajian berkaitan punca hakisan serta pencemaran di kawasan tersebut.
Sementara itu, tinjauan CAP mendapati hakisan yang berlaku sejak lebih setahun lalu telah mengubah keadaan semula jadi pantai berkenaan.
Katanya, fenomena itu bukan sahaja menyebabkan banyak pokok tumbang, malah menjejaskan kemudahan awam apabila bangsal untuk pengunjung berteduh rosak akibat hakisan dan pukulan ombak yang kuat.
“Dahulu, air laut di kawasan ini bersih dan tidak berkelodak manakala pasir pantai pula berwarna putih bersih. Namun kini air laut semakin tercemar dan pasir di kawasan pantai bertukar menjadi hitam,” katanya.
Mohideen berkata, ancaman ombak juga semakin kuat sehingga menyebabkan paras air laut meningkat dan menghampiri jalan utama yang menjadi laluan orang ramai ke pantai berkenaan.
“Kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), jabatan serta agensi berkaitan digesa segera menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar hakisan ini,” katanya. – UTUSAN











