NARATHIWAT (THAILAND): Insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu menyebabkan penduduk ketakutan dan lebih berwaspada.
Majoriti mereka memilih untuk berkurung di rumah terutama pada waktu malam kerana serangan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Meskipun rata-rata penduduk sudah menganggap letupan bom hanya seperti bunyi mercun, insiden terbaharu itu ternyata meninggalkan kesan mendalam terutama kepada penduduk di tiga wilayah yang menjadi sasaran iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.
Kata mereka, lebih membimbangkan apabila tidak diketahui pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan.
Penduduk Tak Bai, Narathiwat yang mahu dikenali sebagai Ding, 40, berkata, berbanding kejadian terdahulu, serangan terkini memberi kesan kepada kehidupan, terutama mereka yang bergantung kepada aktiviti harian untuk mencari rezeki.
Katanya, mereka berharap pihak berkuasa dapat mengesan dan menangkap pelaku supaya kejadian sama tidak terus menghantui kehidupan mereka.
“Sebelum ini benda biasa, serupa bunyi mercun, sudah kalis. Malam kejadian penduduk keluar untuk tengok keadaan yang berlaku.
“Situasi ini beri kesan kepada penduduk untuk cari makan. Saya harap letupan bom tidak lagi berlaku selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penduduk Pattani yang mahu dikenali sebagai Yah, 30, berkata, mereka hanya akan keluar rumah jika mempunyai urusan penting, selain ke masjid.
“Walaupun sudah biasa dengan situasi itu, kami tetap berhati-hati kerana kejadian bom sukar untuk dijangka,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, wilayah selatan Thailand kini tidak selamat untuk dikunjungi rakyat Malaysia berikutan insiden keganasan dan letupan bom yang berlaku.
Sebanyak 51 insiden keganasan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam.
Serangan bermula sekitar pukul 8 malam merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam.
Dalam pada itu, bekas pemimpin tertinggi Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang enggan dikenali mendedahkan, kejadian itu merupakan amaran kepada Kerajaan Thailand supaya tidak memandang rendah kekuatan kumpulan pemisah.
Katanya, insiden terancang itu bukan sekadar bertujuan membuktikan pergerakan mereka masih mendapat sokongan penduduk, malah mempunyai kaitan dengan proses damai yang masih tertangguh sehingga kini.
“Seperti biasa BRN tidak menolak atau mengaku menjadi dalang di sebalik kejadian itu.
“Tetapi semua sifat insiden berkenaan menunjukkan ia dilakukan oleh kumpulan pejuang dan tidak semestinya anggota BRN,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas kaitan insiden itu dengan proses damai, individu itu berkata, pihak perunding Kerajaan Thailand hanya mahu memberikan autonomi ekonomi kepada penduduk di tiga wilayah berkenaan, bukannya pemerintahan sendiri secara menyeluruh.
Menurutnya, pergerakan pejuang pembebasan Pattani sebelum ini sudah berlembut dengan menggugurkan tuntutan kemerdekaan dan menggantikannya dengan tuntutan autonomi pemerintahan sendiri secara menyeluruh.
“Tetapi Kerajaan Thailand hanya mahu memberikan autonomi ekonomi sahaja. Keadaan ini yang menyebabkan pihak pejuang tidak berpuas hati. Mereka (Kerajaan Thailand) melihat seolah-olah pergerakan pejuang lemah.
“Apa yang berlaku sehari dua ini untuk menunjukkan pergerakan pejuang tidak lemah, malah mempunyai kekuatan untuk bertindak, khususnya di Wilayah Narathiwat,” katanya.
Dia yang pernah menjadi anggota Panel Dialog Damai Selatan Thailand antara BRN dengan Kerajaan Thailand turut menafikan penglibatan pergerakan itu dalam aktiviti haram termasuk dadah bagi tujuan mengumpul dana.
Menurutnya, BRN tidak bertolak ansur terhadap mana-mana anggotanya, sama ada di peringkat atasan atau bawahan yang terlibat dalam aktiviti haram, terutamanya pengedaran dan penyeludupan dadah.
“Pernah ada pemimpin BRN yang bergelar ustaz terlibat dengan penyelewengan dana perniagaan disingkirkan. BRN tidak pernah kekurangan dana kerana wang diperoleh daripada ahli serta derma ikhlas orang ramai,” katanya.
Dakwanya, pergerakan itu mempunyai lebih daripada 10,000 anggota dengan kebanyakannya aktif di Narathiwat.
“Terdapat dua pihak iaitu mereka yang menjadi anggota BRN dan mereka yang berjuang menyokong BRN,” katanya. – UTUSAN











