KUALA KANGSAR: Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan 10 tahun lalu tidak mematahkan semangat Mohd. Syukor Shahuji untuk terus aktif dalam sukan lasak.
Malah, ketabahan pemuda berusia 34 tahun itu membuka peluang kepadanya mengetuai Ekspedisi Kayak Kemerdekaan Ke-69 yang akan berlangsung di Kampung Bekor, di sini, pada 27 Ogos ini.
Mohd. Syukor dijangka mengetuai 20 peserta berkayak sejauh lima kilometer di Sungai Perak di kawasan Manong sambil membawa Jalur Gemilang.
Menurutnya, selepas kehilangan kaki, dia mengambil masa beberapa bulan untuk menerima kenyataan berkenaan sebelum kembali aktif dalam kegiatan rekreasi luar.
“Terima kasih kepada jurulatih dan rakan yang memberikan peluang untuk saya menjayakan program ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemuda adal Felda Soeharto, Hulu Selangor itu mendapat tunjuk ajar daripada pendayung kayak solo negara, Murad Mohd. Kassim yang mempunyai rekod mendayung kira-kira 7,000 kilometer termasuk mengelilingi Semenanjung Malaysia.
“Saya gemar aktiviti rekreasi luar sejak belasan tahun. Diharapkan program ini dapat menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan memberi semangat kepada saya,” katanya.
Pemilihan Kampung Bekor mempunyai nilai sejarah kerana kawasan itu pernah menjadi lokasi serangan pengganas komunis pada Mac 1946 yang mengorbankan puluhan penduduk. – UTUSAN









