NEWCASTLE: Penyerang Liverpool, Alexander Isak tenggelam dalam cercaan penyokong Newcastle United ketika penyerang Sweden itu mempamerkan aksi kurang menyerlah dalam keputusan seri 2-2 di St James’ Park, semalam.
Isak menerima ejekan dan dilabel ‘pemain tamak’ menerusi sorakan berbaur kata-kata kesat daripada penyokong kelab lamanya sepanjang penampilan pertamanya di Tyneside sejak menyertai Liverpool pada tahun lalu.
Satu terjahan keras daripada Lewis Hall yang menyebabkan Isak terbaring kesakitan di atas padang dan situasi itu turut disambut dengan sorakan hampir sama kuat seperti ketika Newcastle menjaringkan gol.
Perpindahan kontroversi Isak bernilai 125 juta pound (RM683.8 juta) ke Anfield musim lalu gagal memberi impak seperti diharapkan apabila penyerang Sweden itu bergelut dengan masalah kecederaan dan prestasi hambar.
Berdasarkan penyudahnya yang mengecewakan serta aksi kurang bertenaga ketika menentang Newcastle, masih belum pasti sama ada pemain berusia 26 tahun itu mampu membuktikan nilainya pada musim ini.
Pengendali baharu The Reds, Andoni Iraola menegaskan Isak memang sudah menjangkakan sambutan tanpa belas kasihan daripada penyokong The Toon Army.
“Saya fikir dia memang menjangkakan suasana seperti itu, jadi ia bukan sesuatu yang mengejutkan baginya. Dia sudah mencuba segala-galanya, memberikan kami beberapa posisi yang baik ketika menguasai bola.
“Isak juga mempunyai beberapa peluang untuk melakukan penyudah di dalam kotak penalti, walaupun bukan peluang yang paling jelas. Saya menghargai hakikat bahawa dia terus berusaha dan berjuang,” kata Iraola.
Dengan kelemahan di bahagian pertahanan yang menghantui mereka musim lalu kembali terserlah, Liverpool hanya beberapa saat daripada memulakan era Iraola dengan kekalahan.
Anthony Elanga meletakkan Newcastle di depan sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan tidak lama selepas babak kedua bermula. Gol Joe Willock sejurus selepas masuk sebagai pemain gantian kemudian mengembalikan kelebihan Newcastle.
Namun, terjahan kurang cermat Hall terhadap Victor Munoz pada masa kecederaan menghadiahkan Liverpool sepakan penalti yang disempurnakan Dominik Szoboszlai.
Iraola yang dibawa masuk dari Bournemouth bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat pada musim panas ini, mengakui lega selepas pasukannya mengelak kekalahan.
“Kami menjaringkan gol pada penghujung perlawanan, jadi mungkin perasaannya lebih baik. Tetapi sebelum perlawanan, kami tidak akan berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.
Pengendali baharu Newcastle, Matthias Jaissle, pula kesal dengan keputusan yang menyaksikan pasukannya terlepas kemenangan dalam aksi pembukaan musim.
Jaissle, yang dilantik selepas Eddie Howe meletak jawatan secara mengejut awal bulan ini, mengakui mempunyai perasaan bercampur-baur selepas perlawanan pertamanya bersama Newcastle. – AGENSI/UTUSAN











