SUNGAI PETANI: Skim perlindungan kesihatan mySalam memperluaskan usaha menyantuni masyarakat dengan memberi penerangan mengenai manfaat skim itu kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya komuniti pekak.
Program yang berlangsung di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu turut menjadi platform untuk memastikan golongan OKU yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat perlindungan kesihatan yang disediakan kerajaan menerusi mySalam.
Selain penerangan mengenai skim mySalam, peserta turut didedahkan dengan program Bijak Wang yang memberi penekanan kepada kepentingan mengurus kewangan secara berhemah serta meningkatkan kesedaran mengenai risiko penipuan kewangan.
Ketua skim mySalam yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad, Syuhaib Ithnin berkata, inisiatif yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Persatuan Orang Pekak itu adalah sebahagian daripada usaha memperkasa pengetahuan kewangan dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan OKU.
Menerusi program itu katanya, peserta diberi penerangan berkaitan pengurusan kewangan, kepentingan membuat perancangan kewangan serta langkah yang perlu diambil bagi memastikan simpanan dan pendapatan diurus dengan baik.
“Pendekatan secara bersemuka itu dilihat penting bagi memastikan maklumat berkaitan manfaat kerajaan dan pendidikan kewangan dapat disampaikan dengan lebih mudah, jelas serta bersesuaian dengan keperluan komuniti pekak.
“mySalam turut menekankan bahawa golongan OKU yang memenuhi syarat kelayakan perlu mengetahui hak dan manfaat yang tersedia supaya mereka dapat membuat tuntutan sekiranya berlaku keadaan yang dilindungi di bawah skim berkenaan.
“Usaha mendekati komuniti berkenaan juga membuktikan komitmen mySalam untuk memastikan penyampaian maklumat tidak hanya tertumpu kepada masyarakat umum, sebaliknya merangkumi golongan yang memerlukan pendekatan komunikasi khusus,” katanya.
Dalam masa sama kata Syuhaib, program Bijak Wang menjadi ruang untuk meningkatkan kesedaran peserta supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dalam talian, selain tidak mudah terpedaya dengan tawaran kewangan yang mencurigakan.
“Peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi dan kewangan serta mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi atau berkongsi maklumat dengan pihak tidak dikenali,” katanya.
“Kerjasama antara mySalam dan KWSP itu diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti OKU pekak, bukan sahaja dari aspek pengetahuan mengenai perlindungan kesihatan, malah dalam membina pengurusan kewangan yang lebih kukuh.
“Pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan golongan yang layak mendapat manfaat kerajaan benar-benar memahami kemudahan yang disediakan, sekali gus mengelakkan mereka tercicir daripada perlindungan dan pengetahuan yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan hidup,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sehingga 31 Jul lalu, lebih dua juta penerima telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM 1.51 bilion
Mengulas mengenai program celik kewangan warga pekak 4.0 yang berlangsung di sini, Syuhaib berkata, antara keunikan program tersebut apabila pihaknya menempatkan jurubahasa isyarat di 20 kaunter bagi memudahkan komunikasi dan penerangan.
“Jurubahasa isyarat ini disediakan Persatuan Orang Pekak Perak bagi membantu memberi penerangan kepada peserta yang mengikuti program tersebut. Ramai yang masih tidak mengetahui mengenai faedah mySalam dan kita bawakan jurubahasa isyarat berkenaan bagi memudahkan komunikasi dan memberi penerangan kepada mereka,” katanya.

Seorang peserta dari Perak, Rozliana Mat Ali, 46, pula berkata, program itu sangat membantu mereka mendapat maklumat berkaitan skim mySalam yang mempunyai banyak manfaat.- UTUSAN










