Politik Israel rosak akibat serangan peneroka haram Yahudi - Utusan Malaysia

Politik Israel rosak akibat serangan peneroka haram Yahudi

DUA peneroka haram Yahudi berdiri berhampiran kawasan kejiranan al-Tireh di pintu masuk barat bandar Ramallah, Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pegawai ke­selamatan Israel memberi amaran bahawa serangan oleh pe­neroka haram Yahudi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat menyebabkan kerosakan politik yang serius kepada Israel, lapor penyiar awam KAN pada Jumaat.

Pegawai yang tidak didedahkan identitinya itu berkata anggota tentera terpaksa menangani insiden di lapangan susulan ketiadaan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh polis dan pihak berkuasa kerajaan lain, dalam sesetengah kes tanpa peralatan yang mencukupi atau sokongan yang memadai.

Serangan tersebut berlaku di hadapan mata seluruh dunia dan menyebabkan kerosakan politik yang serius kepada Israel, kata para pegawai itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menambah bahawa keadaan berkenaan turut memberi tekanan kepada pasukan Israel yang ditempatkan di Tebing Barat.

Kritikan tersebut menyusu­li serangan peneroka haram Yahudi pada Jumaat di bandar Sa’ir, di wilayah Hebron, Tebing Barat, yang mengorbankan Karim Shalaldeh, 17, dan mence­derakan beberapa yang lain.

Menurut penyiar itu, tentera Israel berkata sekumpulan pe­neroka haram Yahudi memasuki bandar tersebut untuk melakukan lawatan tanpa penyela­rasan terlebih dahulu dengan tentera dan mendakwa mereka diserang dengan balingan batu oleh rak­yat Palestin.

Pada awal Jumaat, sumber perubatan di Hospital Al-Mizan di Hebron memberitahu Anadolu bahawa Shalaldeh meninggal dunia akibat luka tembakan.

Bapanya, Sanad Shalaldeh, memberitahu Anadolu bahawa kira-kira 50 peneroka Israel menyerang rumah keluarga mereka dan salah seorang daripada mereka menembak anaknya da­ri jarak dekat. 

Tebing Barat yang diduduki menyaksikan peningkatan serbuan tentera Israel dan serangan peneroka terhadap rakyat Pa­lestin serta harta benda mereka sejak Israel melancarkan perang di Gaza pada Oktober 2023, di tengah-tengah amaran yang semakin meningkat mengenai kesan keganasan yang berterusan.

Dalam satu kejadian bera­singan pada pagi Jumaat, Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Awam Palestin memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan bahawa Fathi Khazem, 58, ditembak ma­ti oleh tentera Israel di Jenin. 

Tentera Israel ketika itu sedang menyerbu rumah pesara kolonel Pasukan Keselamatan Negara Palestin tersebut apabila kejadian tembakan berlaku.

Tentera Israel mendakwa Kha­zem cuba menikam anggota tentera Israel ketika operasi ketenteraan sebelum tentera melepaskan tembakan dan membunuhnya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini