PETALING JAYA: Tahukah anda bahawa formula saintifik yang kini dikenali dalam komuniti penyelidik antarabangsa sebagai ‘Fawzal Number’ atau ‘Nombor Fawzal’, merupakan hasil penyelidikan seorang anak Malaysia?
Formula berkenaan dibangunkan oleh Ahmad Syahid Ahmad Fawzal atau lebih dikenali sebagai Dr. Aid Fawzal, yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Automotif dan Pengilangan dari Coventry University, United Kingdom (UK).
Pada 2015, beliau telah menjalankan Industrial PhD secara kolaborasi antara universiti bersama sebuah syarikat yang berpangkalan di Oxford, di mana beliau bekerja sepenuh masa sambil menjalankan penyelidikan di peringkat doktor falsafah.
Anak kelahiran Selangor yang membesar di Melaka itu, kini telah pulang ke Malaysia selepas lebih sedekad membina pengalaman akademik dan profesional di UK.
Formula tersebut pada asalnya dibangunkan dalam kajian berkaitan sistem penyejukan rotor bagi mesin elektrik berprestasi tinggi. Teknologi seperti ini semakin penting dalam pembangunan kenderaan hibrid dan elektrik berprestasi tinggi, termasuk aplikasi ‘supercar’ dan ‘hypercar’, selain mempunyai potensi penggunaan yang lebih luas dalam industri automotif, motorsport dan pelbagai bidang kejuruteraan lain.
Menurut Dr. Aid Fawzal, idea untuk menghasilkan formulasi tersebut bermula apabila seorang penilai jurnal mempersoalkan bagaimana prestasi pelbagai reka bentuk yang dihasilkan dalam kajiannya boleh dibandingkan secara konsisten.
“Soalan itu yang mendorong saya membangunkan satu formulasi baharu bagi membandingkan prestasi pelbagai reka bentuk sistem penyejukan secara konsisten.
“Pada penghujung 2016, formulasi tersebut diterbitkan sebagai Rotor Cooling Performance Index. Kemudian pada 2017, saya menyedari penggunaannya sebenarnya tidak terhad kepada rotor atau mesin elektrik sahaja. Jadi saya menerbitkannya semula sebagai Cooling Performance Index,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, istilah ‘Fawzal Number’ pula bukan diberikan oleh dirinya sendiri, sebaliknya ia mula dinamakan oleh komuniti penyelidik apabila merujuk kepada formulasi tersebut dalam kajian mereka.
“Pada asalnya saya menggunakan formulasi ini untuk kajian berkaitan peningkatan prestasi sistem penyejukan mesin elektrik yang berpotensi digunakan dalam aplikasi kenderaan hibrid dan elektrik berprestasi tinggi.
“Asasnya, bila kita bercakap tentang supercar, hypercar, automotif atau motorsport, pengurusan haba memang menjadi antara perkara penting kerana semakin tinggi prestasi sesuatu mesin, semakin banyak haba yang perlu diuruskan (thermal management).
“Tetapi formulasi ini tidak terhad kepada industri automotif atau motorsport sahaja. Ia boleh digunakan dengan lebih meluas dalam pelbagai sistem kejuruteraan yang prestasinya dipengaruhi oleh penghasilan haba dan memerlukan pengurusan atau penyejukan terma.
“Antaranya termasuk mesin elektrik, penjanaan kuasa, pembangunan enjin dan pelbagai lagi aplikasi kejuruteraan,” jelasnya.
Tambah beliau, terdapat beberapa universiti dan syarikat yang kini menggunakan formulasi tersebut dalam penyelidikan mereka. Walaubagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan identiti pihak berkenaan atas faktor kerahsiaan dan perjanjian dengan pihak berkaitan.

Menurut Dr. Aid Fawzal, formulasi tersebut tidak dipatenkan kerana beliau mahu ia digunakan dan dikembangkan secara meluas oleh penyelidik, jurutera serta pelajar di seluruh dunia.
“Bagi saya, ilmu akan memberi manfaat yang lebih besar apabila ia dapat diakses dan digunakan oleh seramai mungkin orang. Saya tidak melihat nama itu sebagai matlamat utama. Apa yang lebih penting ialah sekiranya formulasi ini dapat membantu jurutera dan penyelidik menyelesaikan masalah sebenar.
“Kalau ilmu itu terus dimanfaatkan selepas saya tiada nanti, saya berharap itulah yang menjadi saham akhirat buat saya melalui ilmu bermanfaat yang saya tinggalkan,” katanya.
Sepanjang menjalankan penyelidikan `Industrial PhD’, beliau menghasilkan banyak reka bentuk baharu yang menjadi hak milik syarikat penaja berdasarkan perjanjian penyelidikan. Daripada jumlah tersebut, tiga reka bentuk utama digunakan dalam kajian dan dimasukkan ke dalam penerbitan serta tesis PhD beliau.
“Untuk membandingkan prestasi reka bentuk-reka bentuk tersebut secara konsisten, formulasi yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Fawzal Number’ telah digunakan.
“Harapan saya mudah. Saya ingin melihat formulasi ini terus digunakan, diuji dan ditambah baik oleh generasi penyelidik akan datang supaya ia dapat terus menyumbang kepada perkembangan ilmu dan teknologi,” katanya.
Bagi beliau, penciptaan sesuatu yang baharu dalam bidang kejuruteraan bukan semata-mata tentang menghasilkan nama atau pengiktirafan.
“Semasa membuat PhD, antara perkara utama yang kita cuba lakukan ialah mencari sempadan ilmu manusia. Kita cuba menyelam sedalam mungkin untuk sampai kepada bahagian ilmu yang belum diterokai oleh pengkaji lain.
“Apabila kita berjaya menemui sesuatu yang baharu, kita sebenarnya sedang memperluaskan pengetahuan manusia. Dan nama Fawzal itu sebenarnya nama ayah saya. Jadi apabila komuniti penyelidik menggunakan nama tersebut, bagi saya ia mempunyai makna yang tersendiri.
“Saya bersyukur dan berharap nama itu bukan sekadar menjadi nama pada satu formulasi, tetapi menjadi sebahagian daripada ilmu yang terus memberi manfaat kepada manusia,” katanya. – UTUSAN











