‘Kami kena kuat fizikal, emosi jaga 3 anak istimewa’

‘Kami kena kuat fizikal, emosi jaga 3 anak istimewa’

MUHAMMAD Amrullah Zulafiza (tengah), Muhammad Adam Amsyar (kanan) dan Muhammad Affan Aryan, (kiri) yang menghidap cerebral palsy bersama ibu serta bapa mereka di Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bimbang pandangan masyarakat terhadap keadaan tiga anak istimewa menyebabkan pasangan suami isteri dari Kampung Padang Tengir, Manir di sini, jarang membawa mereka keluar ke tempat awam.

Nor Azriana Ali, 32, berkata, ketiga-tiga anaknya iaitu Muhammad Affan Aryan Zulafiza, 6;, Muhammad Adam Amsyar, 8, dan Muhammad Amrullah, 10, disahkan menghidap cerebral palsy dan terlantar sekali gus memerlukan penjagaan rapi setiap masa.

Katanya, keadaan anak-anak­nya yang sukar dijangka apabila berada di tempat awam membuatkan dia dan suami, Zulafiza Kamaruddin, 42, lebih selesa membawa mereka keluar sekadar untuk ‘mengambil angin’ dari dalam kereta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lazimnya hanya salah seorang antara saya atau suami yang keluar jika hendak membeli barang ke­perluan kerana perlu menjaga anak-anak di rumah. Sangat jarang kami keluar bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Nor Azriana berkata, membesarkan tiga anak istimewa dalam keadaan terlantar bukan sesuatu yang mudah terutama dari segi ketahanan mental dan emosi.

Katanya, keletihan menjaga anak bukan perkara utama bagi­nya kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai ibu, namun ada ketika dia turut memerlukan ruang untuk berehat dan memberi perhatian kepada diri sendiri.

“Bukan setakat perlu kuat dari segi fizikal tetapi juga emosi. Saya dan suami reda dengan ketentuan ini dan akan menjaga mereka sebaik mungkin. Kadangkala memang penat tetapi apabila melihat anak-anak, saya kuatkan sema­ngat untuk terus menjaga mereka,” katanya.

Menurutnya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,500 sebulan bagi ketiga-tiga anaknya banyak membantu meringankan beban keluarga, khususnya bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas.

Nor Azriana adalah suri rumah manakala suaminya bekerja sebagai nelayan. Mereka turut bersyu­kur kerana menerima bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Katanya, ketiga-tiga anaknya juga menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Sultan Mizan Zainal Abidin (HOSZA), selain menjalani terapi sebulan sekali di Rumah Kebajikan Anak Permata Syurga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN