PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyegerakan pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian bagi memastikan agenda pemerkasaan kumpulan itu dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.
Sekretariat Musyawarah Nasional berkata, penubuhan UPB bukan perkara baharu, sebaliknya tuntutan yang telah berkali-kali dibangkitkan sebelum akhirnya diterima dan diangkat menjadi kerangka rasmi Kerajaan selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025 berkaitan penubuhan, terma rujukan dan struktur UPB di Kementerian.
“Keperluan memperkukuh mekanisme khusus bagi menyelaras agenda Bumiputera di seluruh kementerian telah dibincangkan sejak Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan kemudiannya diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35),” katanya dalam kenyataan.
Putera35 merupakan dasar nasional yang mengandungi 132 ikhtiar di bawah tiga teras dan 12 pemacu, dengan matlamat memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Sebelum ini, Konvensyen Musyawarah Nasional menegaskan bahawa walaupun pelbagai intervensi telah diperkenalkan termasuk melalui KEB dan Putera35, namun cabaran utama masih terletak pada tahap penyelarasan serta pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan.
Dalam pada itu, Sekretariat Musyawarah Nasional berpandangan UPB mesti segera digerakkan sebagai jentera pelaksanaan yang benar-benar berfungsi dengan autoriti, sasaran, data dan akauntabiliti yang jelas.
Katanya, setiap kementerian digesa mengaktifkan sepenuhnya UPB dengan segera, lengkap dengan struktur, pegawai bertanggungjawab serta mandat pelaksanaan yang jelas.
“Setiap UPB pelrlu menyediakan pelan tindakan kementerian masing-masing, dengan KPI yang boleh diukur berdasarkan bidang kuasa, tanggungjawab serta peluang ekonomi yang berada di bawah kementerian tersebut.
“Selain itu, status pelaksanaan dilaporkan secara berkala kepada mekanisme pemantauan pusat Putera35, supaya sebarang kelewatan, pertindihan atau kelemahan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan segera.
“Jika satu scorecard pencapaian diwujudkan, supaya keberhasilan tidak lagi diukur berdasarkan jumlah mesyuarat, program atau peruntukan semata-mata, tetapi berdasarkan peningkatan sebenar penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan serta penguasaan Bumiputera dalam sektor-sektor strategik,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerangka tadbir urus Putera35 sendiri telah menyediakan mekanisme pemantauan melalui Jawatankuasa Kerja Majlis Ekonomi Bumiputera, Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera dan Majlis Ekonomi Bumiputera.
“Kini tanggungjawab terletak sepenuhnya pada Kerajaan untuk memastikan keputusan ini diterjemahkan kepada tindakan.
“Tidak boleh ada lagi jurang antara dasar dengan pelaksanaan. Pemerkasaan Bumiputera mesti menjadi keutamaan nasional yang digerakkan secara tegas, dipantau secara berterusan dan dinilai berdasarkan hasil yang benar-benar dirasai oleh masyarakat Bumiputera,” katanya. – UTUSAN











